APAKAH MAKSUD BID’AH DALAM HAL AQIDAH?

Soalan: 1

Alhamdulillah, kelmarin ustaz ada menjelaskan tentang istilah bid’ah. Untuk bidaah dari sudut Fiqh sudah jelas perbezaannya antara hasanah dan sayyi’ah dari segi makna dan contoh yang Ustaz ulaskan. .  Bolehkah ustaz terangkan dengan lebih lanjut beserta contoh bidaah dari sudut Tauhid?

Jawapan :

Ramai orang sudah biasa mendengar istilah bid‘ah dalam fiqh. Ada bid‘ah ḥasanah (baik) dan bid‘ah sayyi’ah (tercela), bergantung pada hukum dan kesannya.

Tetapi dalam Tauhid, istilah bid‘ah lebih sensitif, kerana ia berkait langsung dengan:

  • kepercayaan terhadap Allah,
  • sifat-sifat-Nya,
  • dan cara kita mengenal Tuhan.

Bid’ah dalam Tauhid atau Aqidah ialah: “Memperkenalkan kepercayaan baharu dalam perkara asas iman yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah ﷺ, para sahabat dan ulama salaf, serta bercanggah dengan dalil qat‘ie”.

Berbeza dengan fiqh, bid’ah didalamnya ialah berkait dengan amalan. Manakala bid’ah dalam Tauhid pula berhubung dengan kepercayaan dan pegangan. Kerana itu para ulama’ sangat tegas dalam bab Tauhid.

Pandangan Ulama’ Ahli Sunnah Wal Jama’ah

Hujjatul Islam, al-Imam al-Ghazali رحمه الله menegaskan bahawa:

“Kesalahan dalam usul (asas-asas) iman lebih berbahaya daripada kesalahan dalam furu‘ (cabang-cabang) amalan”.

Ini kerana rosaknya amalan boleh diperbaiki, tetapi rosaknya aqidah boleh meruntuhkan dan mengeluarkan seseorang dari daerah iman.

Al-Imam Abu Ja’far at-Thohawi pula menyatakan dalam kitabnya al-‘Aqidah at-Thohawiyyah ketika menutup pintu bid’ah tauhid dengan prinsip yang tegas, katanya: “kita tidak melampaui al-Qur’an dan Sunnah dalam mengenal Allah.”

Ia memberi maksud, kita tidak menambah konsep ketuhanan dan tidak mengurangkan apa yang telah ditetapkan. Begitu juga, kita tidak menafsirkan hal Aqidah dengan hawa nafsu.

Antara contoh bid’ah dalam Tauhid adalah:

  1. Menyerupakan Allah SWT dengan makhluk (tashbih)

Ada kelompok fahaman Islam yang mengatakan: “Allah duduk di atas langit seperti manusia duduk di atas kerusi.”

Perkara ini adalah bid’ah dalam Tauhid kerana menetapkan sifat fizikal bagi Allah SWT dan ia jelas bertentangan dengan firman Allah SWT, لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ  (tiada sesuatu pun yang menyamai-Nya).

Para Ulama’ ASWJ sepakat menolak fahaman ini. Kelompok yang berfahaman seperti ini digelar Mujassimah / Musyabbihah.

  • Menafikan Sifat Allah SWT (Ta’thil)

Ada juga kelompok yang berpegang bahawa: “Allah tidak boleh dikatakan Maha Mendengar atau Maha Melihat kerana itu adalah sifat makhluk.”

Fahaman ini lahir dari kelompok Muktazilah. Ia jelas perkara yang bertentangan dengan dalil yang Qat’ie (putus) daripada al-Quran. Padahal Allah taala sendiri menyifatkan diri-Nya dengan وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ  (dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat).
Bagaimana mungkin kelompok ini menafikan apa yang telah Allah SWT tetapkan bagi diri-Nya? Secara tidak langsung, fahaman ini menafikan sifat kesempurnaan Allah SWT.

  • Meyakini Sebab Sebagai Penentu Mutlak

Contohnya fahaman yang bid’ah juga ialah pegangan bahawa “ubat inilah yang menyembuhkan, bukan Allah”. Ini jelas bid’ahnya kerana meletakkan sebab sebagai pencipta kesan. Sedangkan Tauhid menegaskan hanya Allah taala sahaja yang memberi kesan.

Para Ulama’ telah menyebutkan bahawa, “mengiktiraf sebab itu wajib, meyakini sebab itu berkuasa dengan sendiri adalah sesat”. Begitu juga, “mengambil rawatan ketika sakit itu sunnah, meyakini ubat itu sebagai penyembuh secara mutlak adalah syirik”.

  • Meyakini Bahawa Ada Seseorang Mengetahui Perkara Ghaib Secara Mutlak

Ada segelintir masyarakat yang mempercayai bahawa seseorang itu mampu mengetahui perkara ghaib. Terutama mereka yang bergelar dukun dan pawang. Fahaman yang mengatakan makhluk juga berupaya mengetahui hal yang ghaib dengan sendirinya ini termasuk fahaman yang tidak benar dan bid’ah. Ini kerana pengetahuan tentang hal-hal yang ghaib itu adalah mutlak milik Allah SWT. Tiada seorang pun yang mengetahuinya melainkan mereka yang dikehendaki oleh Allah SWT. Allah swt berfirman:

وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ

Maksudnya: “dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya” [al-Baqarah : 255]. Juga firmanNya   

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri “ [al-An’am : 59]

Ahli Sunnah Wal Jama’ah mengiktiraf pengetahuan hal-hal ghaib yang diberikan kepada Nabi atau wali dengan jalan mukjizat atau karamah kerana ia bukan secara mutlak, bahkan dengan wahyu atau petunjuk daripada Allah swt. Manakala mempercayai mana-mana makhluk mempunyai kuasa luar biasa termasuk mengetahui perkara ghaib dengan sendiri ia sama seperti mempercayai adanya sifat ketuhanan yang tersembunyi dalam diri makhluk. Hal ini adalah adalah bid’ah.

Ini adalah beberapa contoh bagi perkara bid’ah yang berkait dengan Akidah yang selebihnya boleh didapati dalam kitab-kitab karangan para Ulama’. Perkara bid’ah seperti ini perlu dijauhi kerana ia membawa kepada kesesatan.

Selain daripada itu, suka juga diberi perhatian tentang perkara yang  sering disalahfahami dan dianggap bid’ah. Sedangkan ia bukan bid’ah. Contohnya seperti:

  1. Bertawassul dengan Nabi SAW atau orang soleh sama ada ketika hayat atau setelah wafat
  2. Bertawassul dengan tempat yang mempunyai Kesan tinggalan orang soleh
  3. Mengagungkan Rasulullah SAW dan beradab dengan Baginda

Kesemua hal ini tidak bid’ah sama sekali selama mana dii’tikadkan bahawa Allah taalalah yang memberi, bukannya makhluk dan makhluk hanyalah wasilah kepada Allah SWT.

Untuk mendapatkan maklumat tambahan, kami telah terangkan juga dalam artikel yang menjelaskan “siapakah Ahlussunnah dan siapa pula ahlul bid’ah”. Jemput membacanya bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top