Penulis : Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin (Penasihat Syariah Agami Group Sdn Bhd)
Ada kota yang diziarahi kerana sejarahnya.
Ada kota yang diingati kerana kenangannya.
Dan ada kota yang dirindui kerana roh baginda Nabi ﷺ masih bernaung di dalamnya.
Al-Madinah al-Munawwarah adalah kota yang ketiga.
Bagi seorang mukmin, al-Madinah bukan sekadar titik di peta bumi Hijaz. Ia adalah lapangan rohani, tempat hati dilunakkan, doa diperkenankan, dan jiwa belajar tentang makna pulang kepada Allah.
Keutamaan Wafat dan Dikebumikan di Madinah
Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan dalam al-Muwaṭṭa’ yang jarang dibicarakan, namun ia termasuk antara dalil paling kuat tentang keutamaan menetap dan wafat di Madinah berbanding Makkah. Bahkan ia suatu hakikat yang sering terlepas pandang oleh kebanyakan orang.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ suatu ketika sedang duduk di perkuburan Baqī‘, sewaktu mereka (baginda dan sahabat) sedang menggali sebuah liang lahad untuk seorang jenazah. Lalu datang seorang lelaki, meninjau ke dalam kubur tersebut dan berkata:
“Alangkah buruknya tempat pembaringan lelaki ini!”
Mendengar kata-kata itu, Rasulullah ﷺ menegurnya dengan tegas: “Alangkah buruknya apa yang engkau katakan, wahai orang ini!”
Lelaki tersebut segera menjelaskan: “Wahai Rasulullah! Yang aku maksudkan ialah jihad di jalan Allah.” Yakni, dia mengharapkan kematian dalam keadaan terbunuh di medan jihad, kerana itulah sebaik-baik kematian menurut sangkaannya.
Namun Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak. Tidak ada satu negeri pun yang lebih aku cintai untuk menjadi tempat kuburku selain daripadanya.”
Perkataan “daripadanya” yang dimaksudkan di sini ialah Madinah al-Munawwarah.
Baginda ﷺ tidak menyebut medan perang, tidak menyebut padang jihad, tetapi menyebut Madinah. Ialah tempat di mana wahyu disempurnakan, akhlak dibina, dan umat dibentuk dengan kasih sayang.
Harapan Nabi Untuk Wafat Di al-Madinah
Ketika setiap kali menziarahi perkuburan Baqi’, baginda Nabi ﷺ sering mengucapkan:
(وإنا إن شاء الله بكم لاحقون)
“Dan sesungguhnya kami—insya-Allah—akan menyusuli kamu.”
Ia bukan sekadar ucapan penghiburan, bahkan merupakan penzahiran cinta dan keinginan Baginda ﷺ untuk wafat dan dikebumikan di al-Madinah. Dan keinginan itu benar-benar menjadi kenyataan.
Diriwayatkan daripada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها, bahawa Rasulullah ﷺ telah wafat di dalam biliknya. Ketika itu, Sayyidina Abu Bakr al-Ṣiddīq رضي الله عنه berkata:
“Tidaklah Allah mencabut roh seorang Nabi melainkan di tempat yang telah Dia tetapkan untuknya dikebumikan.” Maka Baginda ﷺ pun dikebumikan di Hujrah (bilik) Sayyidatina ‘Aisyah, di al-Madinah al-Munawwarah.
Keutamaan Perkuburan Baqī‘ al-Gharqad
Daripada peristiwa inilah para ulama membicarakan secara khusus tentang keutamaan Baqī‘ al-Gharqad, kerana terdapat nas-nas khusus yang menganjurkan menziarahi dan memohon keampunan untuk ahli Baqī‘.
Diriwayatkan daripada Sayyidina Ubayy bin Ka‘b رضي الله عنه, beliau berkata:
“Sesungguhnya kami dapati bahawa Baqī‘ itu disebut dalam Taurat dengan nama Kaftah.”
Ia dinamakan demikian kerana Ia akan ‘menghimpunkan’ dan ‘membungkus’ mereka yang dikebumikan di dalamnya untuk dimasukkan ke dalam syurga. Di situlah bersemadinya ahli keluarga Nabi ﷺ, para sahabat – yang bilangannya tidak kurang dari 10,000 orang- tabi’in dan sekian banyak di kalangan para ulama, auliya’ dan orang-orang soleh.
Baginda Nabi ﷺ pernah didatangi malaikat Jibril AS yang membawa perintah Allah taala kepada baginda agar menziarahi perkuburan Baqi’ dan beristighfar untuk penduduknya. Ini menunjukkan bahawa ahli Baqi’ mempunyai kedudukan yg Istimewa disisi Allah taala. Boleh rujuk artikel kami berjudul “Ziarah Baqī‘ adalah Perintah Ilahi, bukan Sekadar Adat Kebiasaan”.
Bolehkah Berdoa Untuk Meninggal di al-Madinah?
Rasulullah ﷺ bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ibnu Umar رضي الله عنه,
( مَنْ اسْتَطَاعَ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَمُتْ بِهَا ؛ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ يَمُوتُ بِهَا )
“Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah, maka hendaklah dia mati di sana.” [Hasan Shahih]
Dalam sebahagian riwayat, dinyatakan dengan tambahan sabdaaan: “aku akan menjadi pemberi syafaat atau saksi baginya pada Hari Kiamat.”
Para ulama menjelaskan bahawa perkataan “atau” dalam hadith ini bukanlah bermaksud pilihan, tetapi kepelbagaian yang menjelas kedudukan baginda Nabi ﷺ terhadap umatnya:
- Menjadi “Saksi” , bermaksud bagi mereka yang hidup sezaman dengan Baginda ﷺ,
- “Pemberi syafaat” bagi mereka yang datang selepas kewafatan Baginda ﷺ
Perkataan “atau” juga adakalanya datang dengan makna “dan” yang memberi erti menghimpun kedua-dua kelebihan secara mutlak. Ianya adalah satu kaedah yang biasa digunakan dalam Bahasa Arab. Bermakna, baginda Nabi ﷺ akan datang sebagai saksi dan pemberi syafaat kepada sesiapa yang menziarahi Baginda ﷺ.
Sayyidina Umar رضي الله عنه antara sahabat baginda yang memahami maksud hadith ini dan berdoa agar dimatikan di al-Madinah. Beliau telah berdoa sepertimana yang diriwayatkan oleh anakandanya Abdullah bin Umar رضي الله عنه :
كَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُول: اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ، وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ ﷺ.
Sayyidina Umar رضي الله عنه telah mengucapkan: “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kesyahidan di jalan-Mu, dan jadikanlah kematianku di negeri Rasul-Mu ﷺ.”
Doa ini sangat luar biasa kerana pada zahirnya ia kelihatan hampir mustahil kerana syahid biasanya berlaku di medan jihad dan al-Madinah pula ketika itu berada dalam keadaan aman di bawah pemerintahan Islam.
Namun Sayyidina ‘Umar رضي الله عنه tidak melihat doa dengan logik semata-mata, tetapi dengan keyakinan penuh kepada qudrat Allah dan sebagai usaha merealisasikan saranan baginda Nabi ﷺ bagi sesiapa yang mampu meninggal di al-Madinah. Lalu Allah سبحانه وتعالى telah mengabulkan doa tersebut.
Kerinduan Seorang Mukmin
Tidak semua orang ditakdirkan hidup di Madinah,
Tidak semua orang mampu wafat di Baqī‘,
Namun setiap mukmin mampu menyimpan rindu.
Rindunya kami kepada kota yang dicintai Nabi ﷺ,
Rindunya kami kepada tanah yang disirami doa Baginda ﷺ,
Rindunya kami kepada suasana yang mengingatkan bahawa dunia ini hanyalah persinggahan.
ونسأل الله سبحانه وتعالى أن يكرمنا بكرامة عباده الصالحين، وأن يختار لي ولمن يرغب البقيع إن شاء الله
“Kami memohon kepada Allah سبحانه وتعالى agar Dia memuliakan kami dengan kemuliaan para hamba-Nya yang soleh, dan agar Dia memilihkan untukku—dan bagi sesiapa yang menginginkannya—(wafat dan dikebumikan) di Baqī‘, insya-Allah.”










