Penulis: Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin (Penasihat Syariah Agami Group Sdn Bhd)
Menziarahi kubur Baginda Nabi ﷺ adalah kesempatan agung yang diimpikan oleh setiap orang yang beriman. Lebih-lebih lagi bagi umat yang tidak sempat melihat wajah Baginda ﷺ ketika hayatnya. Maka, ziarah ke makam Baginda ﷺ menjadi peluang mendekatkan diri dengan jasad yang paling mulia di muka bumi.
Alhamdulillah, penulis telah direzekikan oleh Allah SWT beberapa kali berziarah ke makam Rasulullah ﷺ setiap kali menunaikan ibadah umrah. Nikmat dapat berdiri di hadapan makam Baginda ﷺ, mengucapkan salam secara langsung kepada Baginda, adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, wujudnya dorongan dan janji daripada sabda Baginda ﷺ tentang keutamaan menziarahi Baginda atau makam Baginda ﷺ , bahawa ia menjadi sebab memperoleh syafaat di akhirat kelak.
Pernah suatu ketika, saya membawa jemaah untuk berziarah dan kami melakukan ziarah wada‘ iaitu ziarah perpisahan sebelum pulang ke tanah air. Kami berdiri di dataran Masjid Nabawi, menghadap ke arah Kubah Hijau yang di bawahnya terletak makam Baginda ﷺ. Selesai mengucapkan salam, kami berdoa dan bertawassul kepada Rasulullah ﷺ agar ziarah dan ibadah sepanjang berada di Tanah Haram diterima Allah. Kami juga berdoa agar dikurniakan rezeki untuk kembali lagi ke hadapan Baginda ﷺ pada kesempatan lain.
Sedang kami khusyuk berdoa, datang seorang petugas Masjid Nabawi menegur dan meminta kami berhenti. Katanya, apa yang kami lakukan adalah perbuatan yang dilarang agama, bahkan dituduh sebagai syirik kerana “berdoa meminta kepada kubur”. Jemaah menjadi hairan kerana perbualan antara saya dan petugas itu berlangsung dalam bahasa Arab.
Tidak mahu timbul pertengkaran di sisi makam Rasulullah ﷺ, saya memilih untuk beralah dan membawa jemaah pergi ke kawasan lain untuk menyambung doa.
Kisah seperti ini sering dialami oleh para penziarah. Kita tidak menghadapi masalah jika teguran diberikan kerana perkara yang benar-benar salah. Namun menuduh perbuatan berdoa dan bertawassul dengan Rasulullah ﷺ sebagai syirik adalah suatu tindakan yang berlebihan dan bertentangan dengan kefahaman para ulama Ahlus Sunnah. Adakah seorang Muslim rela dianggap syirik sedangkan dia mengesakan Allah SWT?
Kesalahfahaman ini muncul kerana kefahaman yang tidak tepat tentang amalan ziarah dan disertai prasangka buruk terhadap orang yang melakukannya.
Hukum Menziarahi Makam Rasulullah ﷺ
Berziarah ke makam Baginda Nabi ﷺ adalah sunnah yang disepakati para ulama. Rasulullah ﷺ sendiri menggalakkan umatnya menziarahi kubur kerana ia mengingatkan akhirat. Sabda Baginda ﷺ:
كنت نهيتكم عن زيارةِ القبور، ألا فزوروها فإنها تذكِّرُكم بالآخرة
Maksudnya: “Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia, kerana sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat”.
— Hadith Riwayat Muslim
Jika menziarahi kubur muslim secara umum itu menjadi amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah ﷺ, maka menziarahi makam insan termulia, penghulu segala nabi dan orang-orang soleh itu pasti lebih utama.
Imam an-Nawawi di dalam kitabnya الإيضاح في مناسك الحج والعمرة menjelaskan tentang tuntutan menziarahi kubur baginda Nabi ﷺ , hukumnya serta kelebihannya. Berikut adalah terjemahan teksnya:
“Apabila para jemaah haji dan umrah telah beredar keluar dari Makkah, maka hendaklah mereka menuju ke Madinah Rasulillah ﷺ untuk menziarahi makam baginda. Sesungguhnya ziarah itu merupakan antara amal ibadah yang paling utama dan usaha mendekatkan diri (kepada Allah) yang paling berhasil. Al-Bazzar dan ad-Daraqutni telah meriwayatkan dengan sanad masing-masing daripada Ibn ‘Umar RA, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
من زار قبري وجبت له شفاعتي
Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi kuburku, wajiblah baginya syafaatku“.
(2) Disunatkan bagi orang yang menziarahi (Rasulullah ﷺ) untuk berniat, selain daripada niat ziarah itu sendiri, akan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Ta‘ala melalui perjalanan menuju ke masjid baginda ﷺ dan solat di dalamnya, memohon taufik daripada Tuhan Yang Maha Memberi taufik.
(3) Disunatkan apabila seseorang itu menuju untuk menziarahi baginda ﷺ supaya dia memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda sepanjang perjalanan. Dan apabila matanya terlihat kepada pepohon Madinah, kawasan haramnya atau tanda-tanda yang diketahui (sebagai sempadannya), maka hendaklah dia menambah lagi selawat dan salam ke atas baginda ﷺ. Dia juga hendaklah memohon kepada Allah Ta‘ala agar diberi manfaat dengan ziarah tersebut dan diterima oleh-Nya.
(4) Disunatkan untuk mandi sebelum memasuki kota Madinah serta memakai pakaian yang paling bersih.
(5) Hendaklah dia menghadirkan dalam hatinya ketika itu akan kemuliaan kota Madinah; bahawa ia merupakan negeri yang paling mulia selepas Makkah menurut sebahagian ulama, dan menurut sebahagian yang lain ia adalah negeri yang paling mulia secara mutlak.
Dan hendaklah dia menghadirkan dalam hatinya bahawa yang memuliakan Madinah itu ialah makhluk yang paling baik seluruhnya (iaitu Rasulullah ﷺ). Maka hendaklah sejak awal kedatangannya hingga saat dia kembali, dia sentiasa merasai keagungan baginda ﷺ, memenuhi hatinya dengan rasa hormat dan segan seolah-olah dia sedang melihat baginda.” Demikianlah petikan daripada kitab الإيضاح.
Kisah Indah al-‘Utbi dan Ayat Tawassul (Surah al-Nisā’, 4:64)
Antara riwayat yang masyhur tentang kelebihan dan rahsia disebalik amalan ziarah kepada baginda Nabi ﷺ ialah kisah al-‘Utbi . Ianya telah disebut oleh ramai ulama tafsir ketika membahaskan ayat tawassul:
وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَحِيمًا
Maksudnya: ” sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulpun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”.
Al-‘Utbi berkata:“Aku pernah berada di sisi kubur Rasulullah ﷺ, lalu datang seorang Arab Badwi lalu mengucapkan salam dan membaca ayat ini. Katanya:
وقد جئتك مستغفرا لذنبي مستشفعا بك إلى ربي
‘Dan kini aku datang kepadamu, wahai Rasulullah ﷺ. Aku memohon keampunan atas dosaku, dan menjadikan engkau sebagai perantara kepada Tuhanku.’
Kemudian lelaki itu melantunkan syairnya yang masyhur (syair ini telah diukir di tiang-tiang yang meliputi bilik maqam Nabi ﷺ) :
يا خيرَ مَن دُفِنَتْ بالقاعِ أعظُمُهُ
فطابَ من طيبِهِنَّ القاعُ والأكَمُ
نفسي الفداءُ لقبرٍ أنتَ ساكنُهُ
فيهِ العفافُ وفيهِ الجودُ والكرمُ
أنتَ الشفيعُ الذي تُرجى شفاعتُهُ
عند الصراطِ إذا ما زلّتِ القدمُ
وصاحباكَ فلا أنساهُما أبداً
منّي السلامُ عليهما ما جَرَى القَلَمُ
“Wahai sebaik-baik insan yang jasadnya disemadikan di bumi,
hingga tanah dan dataran menjadi harum dengan keharuman tulang-belulangmu.
Diriku menjadi tebusan bagi kubur yang engkau diami;
padanya terdapat kesucian, kemurahan hati, dan kemuliaan.
Engkaulah pemberi syafaat yang diharapkan syafaatnya
di sisi as-Sirāṭ ketika kaki-kaki tergelincir.
Dan kedua sahabatmu itu, tidak akan sekali-kali aku lupakan mereka
salamku ke atas mereka selama mana pena terus menulis.

Kisah al-‘Utbi ini telah dinaqalkan dalam kitab-kitab tafsir ulama muktabar termasuk tafsir Imam Ibnu Katsir. Imam al-Qurtubi juga menyebutkan sebuah kisah yang hampir sama dalam tafsirnya. Ianya menjadi bukti penerimaan mereka terhadap karamah yang terdapat di dalamnya. Sekaligus menjadi suntikan semangat dan dorongan bagi setiap Muslim untuk berusaha berziarah ke maqam Baginda ﷺ. Kisah ini juga menjadi sokongan tambahan setelah dihuraikan dalil al-Quran dan Hadith tentang tuntutan ziarah maqam Nabi ﷺ.
Oleh kerana amalan ziarah ini adalah sesuatu yang penting dan mulia, terdapat ramai dikalangan Ulama’ besar telah mengarang kitab khusus berkenaan kelebihan dan adab ziarah makam Nabi ﷺ. Anataranya ialah:
- خلاصة الوفا بأخبار دار المصطفى karangan imam al-Samḥūdī (w. 911H)
- الجوهر المنظم في زيارة القبر الشريف النبوي المكرم karangan imam Ibn Ḥajar al-Haytamī (w. 974H)
- حسن التوسل في آداب أفضل الرسل oleh imam al-Fākihī (w. 982H)
- ذخيرة الكيس فيما سأل عنه الشيخ عمر باجبير ومحمد باقيس oleh al-Sayyid Aḥmad bin ‘Alawī Bāḥasan (w. 1216H) dan banyak lagi.
Kekeliruan dan ketaksuban kepada pandangan Imam Ibnu Taymiyyah
Setelah didatangkan dalil diatas dan selain daripada itu banyak dalil yang lain juga dinyatakan oleh majoriti Ulama’, mengapa masih ada golongan yang begitu anti dengan amalan berziarah ke kubur Nabi ﷺ ? Jawapannya ialah kerana mereka cenderung atau taksub kepada pandangan Imam Ibnu Taymiyyah yang mengatakan bahawa ziarah ke kubur Baginda Nabi ﷺ adalah sesuatu yang tidak disyariatkan kecuali bagi mereka yang berada (yang berdekatan) di al- Madinah, bahkan beliau menghitungnya daripada perkara yang dilarang bagi mereka yang datang dari kejauhan. Alasan beliau dalam perkara ini ialah bahawa, disisinya hadith Nabi ﷺ yang menyatakan kelebihan berziarah ke kubur Baginda ﷺ, semua adalah dhaif. Berikut pandangannya dalam Majmuk al-Fatawa:
” أَحَادِيث زِيَارَةِ قَبْرِهِ صلى الله عليه وسلم كُلُّهَا ضَعِيفَةٌ ، لَا يُعْتَمَدُ عَلَى شَيْءٍ مِنْهَا فِي الدِّينِ؛ وَلِهَذَا لَمْ يَرْوِ أَهْلُ الصِّحَاحِ وَالسُّنَنِ شَيْئًا مِنْهَا، وَإِنَّمَا يَرْوِيهَا مَنْ يَرْوِي الضِّعَافَ ، كالدارقطني وَالْبَزَّارِ وَغَيْرِهِمَا “
Terjemahannya: hadis-hadis tentang ziarah ke kubur Baginda ﷺ semuanya adalah ḍa‘if, tidak boleh dijadikan sandaran dalam urusan agama. Oleh sebab itu, para perawi kitab-kitab Ṣaḥiḥ dan Sunan tidak meriwayatkan apa-apa daripadanya, yang meriwayatkannya hanyalah para perawi yang menghimpun hadis-hadis ḍa‘if seperti al-Daraqutni, al-Bazzar dan selain mereka”. Imam Ibnu Taymiyyah sememangnya konsinten dalam perkara ini dan mendakwa bahawa Baginda Nabi melarang daripada bermusafir dengan niat ibadah melainkan hanya ke tiga buah masjid. Kefahaman beliau dalam perkara ini adalah tidak tepat dan dotolak oleh para Ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Huraian tentangnya kami telah huraikan dalam artikel bertajuk : “Kefahaman ASWJ dalam Mengharmonikan Hadis Larangan Bermusafir dan Pensunatan Ziarah Nabi ﷺ”.
Begitu juga, beliau berpandangan bahawa tidak pernah terdapat sahabat atau golongan salaf yang melakukan amalan berziarah ke kubur Nabi ﷺ. Ia menunjukkan bahawa para salaf tidak menganggapnya sebagai satu hal yang dianjurkan. Dengan ini beliau mendakwa bahawa kefahamannya itu selari dengan kefahaman para salaf. Dakwaan ini juga tidak tepat kerana terdapat riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya dan Imam al-Hakim dalam Mustadraknya bahawa Saidina Abu Ayyub al-Ansari رضي الله عنه pernah menziarahi kubur baginda Nabi ﷺ dan meletakkan wajahnya di kubur baginda. Riwayat ini disahihkan oleh imam al-Hakim.
Adapun hadith-hadith yang didhaifkan oleh Imam Ibnu Taymiyyah dan mereka yang sealiran dengannya, maka para Ulama’ hadith telah meluruskan kefahaman ini dengan mengatakan bahawa seandainya riwayat-riwayat ini kesemuanya daif, ia tetap dikuatkan dengan banyaknya syawahid. Seumpama hadith “barangsiapa yang menziarahi kuburku, wajib baginya syafaatku”, yang diriwayatkan oleh imam ad-Daruqutni, imam al-Hafiz Abdul Haqq al-Isybili telah mensahihkannya dan dikuatkan oleh imam al-Hafiz as-Suyuthi dan Taqiyyuddin as-Subki. Mulla ‘Ali Qari RA menjelaskan dalam syarah as-Syifa: “bagi hadith ini terdapat jalan yang pelbagai dan juga syawahid yang dengannya dihasankan oleh imam az-Dzahabi dan sebahagian para Ahli Hadith mensahihkannya”.
Kesimpulan: Harapan Seorang Penziarah
Ziarah ke makam Rasulullah ﷺ bukan hanya perjalanan biasa, bahkan ia adalah amalan yang sangat mulia. Hayatilah kata-kata imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani RA dalam Fatḥu al-Bari:
“زِيَارَتُهُ ﷺ مِنْ أَجَلِّ الْقُرُبَاتِ وَأَنْجَحِ الْمَسَاعِي.”
“Menziarahi Baginda ﷺ adalah antara amalan mendekatkan diri kepada Allah yang paling agung dan paling berhasil.
Seperti ibadah yang lain, kemanisan dan kelebihannya tidak akan dapat dicapai jika tidak dilaksanakan dengan ilmu dan penghayatan. Lihatlah betapa hebat usaha para Ulama’ menghimpunkan dalil-dalil dan hujjah bagi menzahirkan kesunnahan berziarah ke kubur baginda Nabiﷺ. Para pencinta Nabi ﷺ yang datang dari seluruh pelusuk dunia, pastinya tidak datang semata-mata untuk melakukan maksiat atau khurafat seperti didakwa sebagaian golongan, akan tetapi mereka hadir dengan penuh makna kerinduan dan kecintaan terhadap Baginda ﷺ. Semoga pengorbanan mereka menempuh perjalanan yang jauh, diganjari dengan mendapat syafaat Nabi ﷺ di akhirat kelak.
Semoga dengan sedikit huraian ini, menjelaskan hukum dan membangkitkan kesungguhan para pembaca untuk mengamalkannya.
Ya Allah, kurniakanlah kami rezeki dapat berdiri di hadapan makam Rasulullah ﷺ, mengucapkan salam kepada Baginda, dan pulang dengan hati yang disinari cahaya kecintaan kepada-Nya.
اللهم ارزقنا زيارة نبيك المصطفى محمدٍ ﷺ في الدنيا، وشفاعته يوم القيامة، برحمتك يا أرحم الراحمين











1 thought on “Keutamaan Berziarah ke Kubur Nabi ﷺ dan Kefahaman yang Sahih Tentangnya”
Goid