KHABAR GEMBIRA BUAT PENZIARAH KUBUR BAGINDA NABI ﷺ

Khabar Gembira Pertama

[Nabi ﷺ Mendengar Salam dan Selawat Ziarah dengan Pendengaran Hakiki]

Ketahuilah, bahawa apabila seorang penziarah menyampaikan salam dan selawat ke atas Nabi ﷺ di sisi makam baginda yang mulia, maka baginda mendengar ucapan itu dengan pendengaran yang hakiki, lalu membalas salam itu secara langsung tanpa sebarang perantara.

Alangkah agungnya kelebihan ini! Ia tidak sama dengan mereka yang berselawat dan memberi salam dari kejauhan, kerana salam itu sampai kepada baginda hanya melalui perantaraan malaikat penyampai. Hal ini ditegaskan oleh banyak hadith, sebahagiannya akan disebutkan kemudian.

Maka tidak hairanlah jika kedudukan ini merupakan khabar gembira yang terbesar, bahkan sebuah kurniaan yang tiada bahasa mampu meliputinya. Ia adalah anugerah agung bagi seorang penziarah yang berdiri di hadapan Rasulullah ﷺ, dengan keyakinan bahawa baginda masih hidup, mendengar suaranya, doa serta tawassulnya. Bahkan, rintihan hati serta permintaannya agar baginda ﷺ menjadi perantara kepada Allah, demi keredaan dan kurniaan-Nya, akan disampaikan kepada Baginda yang mulia.

Maka, betapa beruntungnya seorang hamba yang ucapannya didengari langsung oleh Rasulullah ﷺ, lalu baginda menjawab salamnya sebagai tanda kebahagiaan. Oleh itu, genggamlah erat peluang berziarah ini, usahakanlah ia dengan segala kemampuan, kerana pada saat itu terbuka segala pintu kebaikan, terkabul segala harapan, dan terlerai segala persoalan hidup.

Ziarah ini menjadi sebab terhapusnya dosa-dosa yang lalu, membersihkan akhlak serta menyucikan jiwa daripada sifat-sifat tercela, di samping menghiasi diri dengan keindahan akhlak para ahli kesempurnaan. Semoga Allah mengurniakan kepada kita peluang ini, melimpahkan anugerah-Nya, serta menyingkap tabir kebiasaan agar kita termasuk dalam golongan yang menempuh jalan ini dengan kurnia dan rahmat-Nya. آمين.

Khabar Gembira Kedua

[Malaikat Menyambut Para Penziarah]

Al-Fākihī رحمه الله dalam kitab Ḥusn al-Tawassul, menukil daripada karya Mafākhir al-Islām, bahawa apabila seorang penziarah makam Nabi ﷺ sampai ke beberapa batu (jarak) dari kota Madinah, maka para malaikat yang diamanahkan untuk menyampaikan selawat kepadanya segera melaporkan:

“Wahai Rasulullah, inilah si fulan, si fulan dan si fulan yang kami sampaikan kepada baginda akan selawat mereka, kini mereka datang menziarahi baginda.”

Maka Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sambutlah mereka dengan penghormatan. Hulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan para penunggang, peluklah mereka yang berjalan kaki, dan tunaikanlah segala hajat mereka. Kalaulah tidak kerana penghalang di Madinah, nescaya aku sendiri akan keluar berjalan kaki menyambut mereka. Tetapi, aku akan menunaikan hak mereka pada hari di mana tiada jalan bagi mereka melainkan dengan kecintaan kepadaku.”

Betapa agungnya kedudukan ini, sehingga seorang penziarah disambut oleh malaikat dengan perintah langsung daripada Rasulullah ﷺ, bahkan dijanjikan pembelaan baginda pada hari kiamat.

Khabar Gembira Ketiga

[Syafaat, Ketinggian Darjat dan Tercapainya Segala Harapan]

Di antara kelebihan besar ziarah ke makam baginda ﷺ ialah jaminan syafaat, ketinggian darjat serta tercapainya segala hajat. Hal ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

“Barang siapa menziarahi kuburku, maka wajiblah baginya syafaatku.”

Hadith ini diriwayatkan dengan pelbagai lafaz dan sanad, yang kesemuanya menunjukkan keagungan fadilat ziarah.

Maka, bersungguh-sungguhlah menziarahi penghulu sekalian makhluk meskipun dengan menempuh kesulitan dan perjalanan jauh kerana dengannya diharapkan tercapai darjat-darjat yang tinggi di akhirat, diperoleh kedudukan yang mulia, serta dilimpahkan ampunan Allah SWT atas dosa dan kesalahan. Dari limpahan kemuliaan Nabi ﷺ, seseorang akan mendapat naungan rahmat dan keberkatan yang berterusan.

Dan tidaklah mustahil hal ini, kerana berdiri di hadapan Nabi ﷺ yang penuh kasih sayang terhadap para pendosa, adalah sebuah kedudukan yang terpuji. Lidah hati seorang penziarah itu seakan mengungkapkan bait puisi indah:

“Bagaimana mungkin aku berpaling dari halaman kasihmu,
sedang cintamu bagiku adalah sebuah kemuliaan.
Wahai junjunganku, tiadalah bahagia hidupku
jika aku berdiri di selain pintu-pintu kasihmu.”

Tidak diragukan lagi bahawa kehadiran secara jasmani ke Madinah al-Munawwarah memberikan kelazatan rohani dan ketenangan jiwa yang tidak tergantikan. Ia lebih-lebih lagi bagi mereka yang belum sampai kepada maqam hakikat orang arif yang berkata:

“Kalian menziarahi jasad, sedangkan kami menziarahi roh.”

Ungkapan ini pernah dijadikan hujah oleh segelintir yang tidak bernasib baik, lalu meninggalkan ziarah dengan alasan tidak perlu hadir secara jasad. Namun hakikatnya, kerugian itu lahir daripada kekikiran jiwa serta kekeliruan fikiran.

Sungguh, kerinduan untuk menyaksikan dengan mata kepala sendiri merupakan satu permintaan luhur. Nabi Musa عليه السلام sendiri pernah memohon kepada Allah agar dapat melihat-Nya, meskipun hakikatnya tidak mampu dicapai di dunia.

Demikianlah keadaan para ahli hati dan arif billah, mereka menghadirkan diri secara jasmani ke Madinah Nabi ﷺ, dengan roh yang sentiasa dekat dengan baginda. Dorongan mereka bukanlah semata-mata perjalanan tubuh, tetapi kerana ingin memperoleh limpahan kerohanian yang halus, sebagaimana yang diungkapkan para penyair.

Penutup

Tiga khabar gembira ini iaitu Nabi ﷺ mendengar salam penziarah secara langsung, malaikat menyambut kehadiran penziarah dengan perintah Rasulullah ﷺ, serta jaminan syafaat dan tercapainya segala harapan – adalah sebesar-besar anugerah bagi umat yang mencintai baginda.

Sesungguhnya, ziarah ke makam Nabi ﷺ bukan sekadar perjalanan jasad, tetapi ia adalah perjalanan hati yang penuh cinta, pengabdian, dan pengharapan kepada syafaat baginda al-Mustafa ﷺ.

Penulis / penterjemah : Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin (Penasihat Syariah Agami Group Sdn Bhd)

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top