Oleh: Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin (Penasihat Syariah Agami Group Sdn Bhd)
Pendahuluan
Perbahasan tentang hukum bermusafir ke Madinah untuk menziarahi makam Rasulullah ﷺ merupakan salah satu isu yang paling kerap dibincangkan dalam wacana ilmu Islam, terutamanya apabila dikaitkan dengan pandangan Syaikhul Islam Ibn Taymiyyah (w. 728H). Beliau memegang pendapat bahawa seseorang tidak dibenarkan melakukan perjalanan khusus dengan tujuan menziarahi makam Nabi ﷺ, berdasarkan kefahaman tertentu terhadap hadis “لا تُشَدُّ الرِّحالُ”.
Pendapat ini bagaimanapun ditolak oleh majoriti ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah (ASWJ), termasuk para fuqaha empat mazhab, ahli hadith, dan ahli tasawuf. Mereka menegaskan bahawa menziarahi Nabi ﷺ adalah sunat, dianjurkan oleh syarak, dan merupakan bentuk ta‘zim serta tanda mahabbah kepada Baginda ﷺ.
Artikel ini mengemukakan kritikan ilmiah terhadap pandangan Ibn Taymiyyah berdasarkan huraian para ulama muktabar.
1. Hadis Melarang Bermusafir Kecuali Ke Tiga Buah Masjid dan Isu Konteks Kefahaman
Hadis tersebut berbunyi:
«لا تُشَدُّ الرِّحالُ إلا إلى ثلاثةِ مساجد: المسجدِ الحرامِ، ومسجدي هذا، والمسجدِ الأقصى»
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini masuk dalam bab kelebihan tiga masjid, bukan bab larangan bermusafir secara umum untuk tujuan ibadah lain. Para ulama ASWJ menjelaskan bahawa hadis ini hanya menyatakan keutamaan solat dan fadilat yang tidak terdapat di masjid lain, dan bukannya melarang sebarang musafir menuju selain tiga masjid tersebut.
Penjelasan Ulama
Imam al-Nawawi (w. 676H) menyebut dalam Syaraḥ Ṣaḥiḥ Muslim:
“Bukanlah maksud hadis ini mengharamkan bermusafir ke selain tiga masjid, tetapi yang dimaksudkan ialah tiada sesuatu tempat yang mempunyai kelebihan seperti tiga masjid ini.”
Begitu juga Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) dalam Fatḥ al-Bari menegaskan bahawa hadis ini tidak menyentuh ziarah kubur Nabi ﷺ, bahkan ia berkaitan kelebihan solat di masjid.
Jika benar larangan bermusafir kecuali ke tiga buah masjid ini difahami secara mutlak, maka ia bertentangan dengan dalil-dalil yang lain yang menganjurkan permusafiran untuk tujuan -tujuan yang baik seperti, menuntut ilmu, menghubungkan silaturrahim, menunaikan hajat seseorang, mencari rezeki, berjihad dan seumpamanya.
2. Ziarah Baginda Nabi ﷺ Adalah Tuntutan Syara’ Menurut Jumhur Ulama
Ziarah makam baginda Nabi ﷺ dianggap satu amalan sunat yang sangat dianjurkan. Majoriti ulama empat mazhab menghukumkannya sunat atau mustahab.
Mazhab Syafi’i
Imam al-Nawawi berkata dalam al-Majmu‘:
وَيُسْتَحَبُّ لِمَنْ فَرَغَ مِنَ الْحَجِّ أَنْ يَزُورَ قَبْرَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، وَذَلِكَ مِنْ أَفْضَلِ الْأَعْمَالِ وَأَجَلِّ الْقُرُبَاتِ
“Disunatkan bagi orang yang mengerjakan haji untuk menziarahi makam Rasulullah ﷺ. Ini adalah antara amalan yang paling afdhal dan paling baik.”
Mazhab Ḥanafi
Imam Ibn ‘Abidin menulis dalam Ḥashiyah beliau:
وَزِيَارَةُ قَبْرِهِ ﷺ مِنْ أَفْضَلِ الْمَنْدُوبَاتِ، وَمِنْ أَعْظَمِ الْقُرُبَاتِ، وَقَدْ صَرَّحَ بِذَلِكَ أَهْلُ الْعِلْمِ وَالْفَضْلِ
“Ziarah ke makam Nabi ﷺ adalah amalan yang paling mendekatkan diri kepada Allah, dan mereka yang berkedudukan tinggi dalam ilmu sangat menekankan hal ini.”
Mazhab Maliki
Imam al-Qaḍhi ‘Iyaḍ dalam al-Shifa’ menyatakan:
وَزِيَارَتُهُ ﷺ سُنَّةٌ مُجْمَعٌ عَلَيْهَا، وَفِيهَا فَضْلٌ عَظِيمٌ وَثَوَابٌ جَزِيلٌ
“Ziarah kepada Nabi ﷺ adalah amalan sunat yang dipersetujui oleh ulama.”
Mazhab Ḥanbali
Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (w. 620H) dalam karya agungnya al-Mughni menulis:
وَيُسْتَحَبُّ زِيَارَةُ قَبْرِ النَّبِيِّ ﷺ؛ لِمَا رُوِيَ مِنَ الْأَحَادِيثِ فِي فَضْلِ زِيَارَتِهِ
“Disunatkan menziarahi makam Nabi ﷺ kerana hadis-hadis yang menganjurkannya.”
3. Kritikan Ulama’ Terhadap Pandangan Ibn Taimiyyah
(a)Pandangan Yang Tidak Pernah Dinyatakan oleh Sesiapa Pun Sebelum Beliau
Imam Taqiyy al-Din al-Subki (w. 756H) menulis dalam karya Shifa’ al-Siqam:
“Tidak ada seorang pun ulama sebelum Ibn Taymiyyah yang mengharamkan perbuatan musafir untuk ziarah Nabi ﷺ. Ini adalah pendapat yang ganjil dan bertentangan dengan ijmak umat.”
(b) Menolak ijmak ulama terdahulu
Imam Al-Subki menegaskan bahawa ijmak amali umat sejak zaman sahabat menunjukkan bahawa umat Islam sentiasa mengunjungi Madinah untuk menziarahi Baginda ﷺ. Beliau menulis:
وَقَدِ اسْتَمَرَّ الْمُسْلِمُونَ مِنَ الْمَشَارِقِ وَالْمَغَارِبِ فِي كُلِّ زَمَانٍ عَلَى زِيَارَةِ قَبْرِ النَّبِيِّ ﷺ، وَلَمْ يُنْكِرْ ذَلِكَ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ، فَكَانَ ذَلِكَ إِجْمَاعًا عَمَلِيًّا
“Umat Islam dari Timur dan Barat sentiasa mengunjungi makam Nabi ﷺ sepanjang zaman. Ini sendiri adalah ijmak yang diamalkan.”
(c) Menyalahi pendapat mazhab Hanbali sendiri
Para Ulama’ terdahulu Mazhab Hanbali seperti Imam Ibn Qudamah jelas menyatakan kesunnahan menziarahi Nabi ﷺ. Pandangan Imam Ibn Taymiyyah dianggap keluar daripada arus utama mazhabnya.
4. Kedudukan Mahabbah dan Ta‘zim Kepada Rasulullah ﷺ
Sebahagian ulama menekankan bahawa pandangan Ibn Taymiyyah itu memberi kesan negatif secara tidak langsung terhadap adab kepada Rasulullah ﷺ. Imam al-Subki menyatakan:
“Ziarah Nabi ﷺ adalah amalan yang menzahirkan kecintaan kepada Baginda. Sesiapa yang melarangnya, maka ia telah merosakkan adab terhadap Rasulullah ﷺ.”
Pandangan ini tidak bermaksud menuduh Ibn Taymiyyah secara peribadi, tetapi menjelaskan bahawa implikasi pendapat tersebut menyalahi adab syariat terhadap Nabi ﷺ.
Kesimpulan
Kritikan ilmiah yang dikemukakan terhadap pandangan Imam Ibn Taymiyyah ini menatijahkan bahawasanya:
- Hadis “لا تُشَدُّ الرِّحالُ” bukanlah dalil larangan ziarah.
- Jumhur ulama memandang ziarah Nabi ﷺ sebagai amalan sunat yang sangat dituntut.
- Pandangan Ibn Taymiyyah merupakan pendapat ganjil dan bercanggah dengan amalan umat.
- Ulama besar seperti al-Nawawī, Ibn Hajar, Ibn Qudāmah, dan al-Subkī membantah pendapat tersebut secara jelas.
Akhirnya, amalan menziarahi Nabi ﷺ dan kubur baginda adalah merupakan manifestasi cinta, adab, dan tanda terima kasih kepada Baginda ﷺ atas jasa dan pengorbanan baginda kepada umat. Ia Adalah satu amalan yang telah diwarisi daripada generasi awal umat Islam.
Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah untuk kita sentiasa beradab dengan Rasulullah ﷺ dan mengikuti panduan para ulama muktabar.











1 thought on “Kritikan Ilmiah Terhadap Pandangan Ibn Taymiyyah Mengenai Larangan Musafir untuk Ziarah Makam Nabi ﷺ”
Love. Cinta.