Penulis / penyusun : Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin ( Panel Syariah Agami Group Sdn Bhd)
Soalan :
Sebahagian ilmuan khususnya dari Arab Saudi dan mereka yang cenderung mengikuti Imam Ibnu Taimiyyah رحمه الله berpendapat tidak wajib qadha solat fardhu yang ditinggalkan jika ianya banyak. Cukup hanya bertaubat dan memperbanyak amalan soleh. Sedangkan ia bertentangan dengan pandangan jumhur ulama yang mewajibkan qadha. Bagaimanakah cara terbaik untuk saya berinteraksi dengan isu ini serta mohon berikan solusi terbaik bersadarkan dua pandangan ini. Terima kasih.
Jawapan :
بسم الله الرحمن الرحيم , الحمد لله, والصلاة والسلام على رسول الله. أما بعد
Terdapat dua pandangan utama dalam isu qadha solat fardhu yang ditinggalkan secara sengaja dan dalam jumlah yang banyak:
Hujah Golongan yang Tidak Mewajibkan Qadha (Abu Bakar Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah dll ):
- Solat Wajib pada Waktu Tertentu:
Mereka berhujah berdasarkan firman Allah: إن الصلاة كانت على المؤمنين كتابا موقوتا
Maksudnya, (Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman). Mereka memahami bahawa solat hanya sah dilakukan dalam waktunya, dan jika ditinggalkan dengan sengaja, tidak ada lagi peluang untuk menggantinya.
- Tiada Dalil Syarak yang Menyuruh Qadha bagi yang Sengaja Tinggal:
Mereka menyatakan bahawa tidak terdapat nas yang jelas dari al-Quran atau hadis yang mewajibkan qadha bagi orang yang meninggalkan solat secara sengaja. Dalil-dalil yang ada hanya berkaitan dengan qadha bagi yang tertidur atau terlupa, bukan yang sengaja meninggalkan. - Tumpuan kepada Taubat dan Amalan Soleh:
Pandangan ini menekankan bahawa yang wajib bagi pelaku adalah bertaubat dengan sebenar-benarnya, memperbanyak istighfar dan amalan soleh, serta memperbanyak solat sunat untuk menampung kekurangan.
Ini adalah pandangan Imam Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah dan Ulama yang sependapat dengan mereka.
Ibnu Hazm رحمه الله menyatakan: “Orang yang sengaja meninggalkan solat tidak boleh menggantinya, tetapi hendaklah memperbanyak amalan baik dan solat sunat”. Ibnu Taimiyyah رحمه الله pula berpendapat: “Tidak wajib qadha jika solat ditinggalkan dengan sengaja, bahkan tidak disyariatkan qadha. Yang wajib adalah taubat dan memperbanyak amalan soleh”.
Jawapan Balas Berdasarkan Pandangan Jumhur Ulama (Mazhab Empat dan Majoriti Ulama):
- Ijmak dan Dalil Umum:
Jumhur ulama termasuk mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali bersepakat bahawa wajib qadha bagi solat yang ditinggalkan, sama ada kerana lupa, tertidur atau sengaja. Mereka berdalil dengan hadis Nabi SAW: «فدين الله أحق أن يقضى» (Hak Allah lebih utama untuk ditunaikan)
Mereka juga berhujah bahawa jika orang yang tertidur atau terlupa diwajibkan qadha, maka orang yang sengaja meninggalkan lebih utama untuk diwajibkan qadha. - Ijmak Ulama yang Diiktiraf:
Imam al-Nawawi menyatakan: “Telah ijmak ulama yang diiktiraf bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib ke atasnya qadha”.
Pandangan Ibnu Hazm dan segelintir ulama dianggap syaz (ganjil) dan tidak diambil kira dalam ijmak.
- Kewajipan Menunaikan Hak Allah:
Solat adalah hak Allah yang tidak gugur dengan sebab sengaja meninggalkan. Seseorang tidak terlepas daripada tanggungjawab melainkan dengan menunaikan solat yang ditinggalkannya. - Kaedah Fiqh dan Kewajipan Qadha:
Kaedah fiqh menyatakan: “Setiap ibadah yang mempunyai waktu dan jika ditinggalkan, wajib diqadha kecuali ada dalil yang mengecualikan.” Tidak ada dalil yang mengecualikan solat yang ditinggalkan dengan sengaja daripada qadha. - Pandangan Jumhur Lebih Selamat dan Berhati-hati:
Pandangan jumhur adalah lebih selamat dan dapat membersihkan tanggungan seseorang di hadapan Allah ( براءة الذمة ). Jika seseorang bertaubat dan berusaha qadha solat yang ditinggalkan, maka dia telah berusaha menunaikan hak Allah dan keluar daripada khilaf.
Kesimpulan:
Pandangan yang tidak mewajibkan qadha solat fardhu yang ditinggalkan secara sengaja adalah pandangan minoriti dan tidak diikuti oleh jumhur ulama. Mereka beralasan bahawa tiada dalil yang jelas mewajibkan qadha dalam situasi sengaja. Ianya telah dimaklumi kerana pandangan ini dikenali dengan mazhab zohiri atau literalis. Tambahan daripada itu, sebahagian mereka menolak dalil Ijma’ dan Qias.
Manakala Jumhur ulama mewajibkan qadha sebagai jalan untuk membersihkan tanggungan dan menunaikan hak Allah, selain bertaubat dan memperbanyak amalan soleh. Bahkan ianya jelas dengan dalil-dalil nas termasuk Ijma’ dan Qias. Maka, yang lebih selamat dan berhati-hati ialah mengikuti pandangan jumhur dengan menqadha solat yang ditinggalkan, walaupun jumlahnya banyak, mengikut kemampuan dan tanpa memudaratkan diri.







