ILMU AGAMA DIPELIHARA MELALUI SANAD

Penulis : Megat Mohd Zaid bin megat Azmuddin (Penasihat Syariah Agami Group Sdn Bhd)

Kepentingan ilmu dalam kehidupan ibarat nyawa kepada jasad. Bagi setiap Muslim yang dididik dengan kefarduan beragama, pasti mengetahui kewajipan menuntut ilmu. Hal ini kerana, ilmu itu sendiri adalah agama. Seseorang akan beramal dengan agama berdasarkan ilmu yang dipelajarinya. Benarlah ungkapan para ulama:

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم
“Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agamamu.”

Pada era moden yang serba canggih ini, manusia memperoleh ilmu daripada pelbagai sumber — antaranya melalui pengajian para guru dan alim ulama, pembacaan buku-buku agama, serta media sosial seperti video dan artikel dalam talian yang kini menjadi kegemaran anak muda.

Namun demikian, sumber yang paling sahih dan diberkati bagi mendapatkan ilmu ialah melalui bimbingan seorang guru. Bukan sebarang guru, tetapi guru yang benar-benar mahir dan berautoriti dalam bidangnya.

Kebelakangan ini, pelbagai kekeliruan timbul dalam penyampaian ilmu dan maklumat keagamaan. Akibatnya, berlaku pergeseran dan salah faham dalam kalangan masyarakat awam. Hal ini terjadi kerana ramai masyarakat mengambil ilmu secara mentah-mentah daripada guru yang mereka dengar tanpa kemampuan menilai benar atau salah sesuatu pandangan.

Oleh sebab itu, para ulama telah menetapkan bahawa ilmu agama mesti diambil daripada guru yang memiliki sanad yang sahih.

Mengenali Guru yang Benar Melalui Sanad

Persoalan timbul: Bagaimana kita dapat memastikan seseorang guru itu benar dan ilmunya bersumber sahih?

Jawapan kepada persoalan ini ialah sanad.

Sanad merupakan rangkaian penyampaian ilmu yang bersambung daripada guru kepada guru hingga sampai kepada Rasulullah ﷺ. Ia menjadi jaminan bahawa ilmu yang disampaikan berpunca daripada sumber yang benar.

Kata seorang tokoh ulama’,

إِنَّ الإِسْنَادَ مِنَ الدِّينِ، وَلَوْلَا الإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Maksudnya, “Sesungguhnya sanad itu sebahagian daripada agama; dan sekiranya bukan kerana sanad, nescaya sesiapa sahaja akan berkata sesuka hatinya.”

Frasa ini sering dinisbahkan kepada Ibn al-Mubārak (عبد الله بن المبارك), seorang ulama besar tabi‘ al-tābi‘īn, yang menegaskan pentingnya sanad dalam menjaga ketulenan ilmu dan agama.Sanad amat penting dalam ilmu agama kerana ia memastikan keaslian, kebenaran, dan kesinambungan ilmu yang bersumber daripada wahyu Allah SWT kepada Nabi Muhammad ﷺ, kemudian diwariskan kepada para sahabat, tabi‘in, dan seterusnya hingga kepada ulama pada zaman ini.

Sanad berperanan sebagai benteng daripada pemalsuan, penyelewengan dan perubahan, serta menjadi asas kepada kesahihan dan keabsahan sesuatu ilmu.

Sanad dalam Ilmu al-Qur’an

Contoh paling jelas bagi sistem sanad ialah dalam ilmu al-Qur’an.
Oleh kerana al-Qur’an disampaikan secara talaqqi dan musyafahah (bersemuka) daripada guru kepada murid dengan sanad yang bersambung, maka segala perkara yang berkaitan dengannya seperti tajwid, makhraj huruf, tempat waqaf dan ibtida’, tafsir serta kefahaman maknanya terpelihara dengan sangat baik.

Sekiranya ada mana-mana pihak cuba menyeleweng dalam bacaan atau tafsirannya, kesalahan tersebut akan segera dikenal pasti kerana ilmu ini berpaksikan kepada sanad yang jelas dan teratur.

Begitu juga dalam bidang-bidang lain seperti aqidah, fiqh, tasawuf, hadith dan tafsir.
Setiap disiplin ilmu mempunyai manhaj dan sanad tersendiri yang memelihara kefahaman asal sebagaimana yang diterima daripada Rasulullah ﷺ dan para salaf al-ṣāliḥīn.

Ada kelompok ilmuan yang sangat menjaga disiplin ilmu hadith. Mereka berbangga dengan keupayaan membezakan hadith yang sahih daripada yang lemah. Bahkan sangat memerangi kepada golongan yang mengada-adakan hadith kerana ia keluar daripada sanad keilmuan mereka.

Sanad bukan hanya diaplikasikan dalam ilmu al-Quran dan Hadith sahaja. Bahkan ilmu-ilmu yang lain yang merupakan alat bagi memahami kedua sumber hukum ini juga mempunyai sanadnya. Agar kefahamannya turut terpelihara disamping memelihara teksnya.

Kesan Ilmu Tanpa Sanad

Kekeliruan yang banyak berlaku pada masa kini berpunca daripada guru-guru yang mengajar tanpa sanad. Mereka mungkin menyampaikan agama berdasarkan pendapat dan hawa nafsu sendiri, bukan berpandukan kepada kefahaman yang diwarisi daripada ulama muktabar.

Maka, tidak hairanlah muncul pelbagai pandangan ganjil dan penyelewengan dalam memahami ajaran Islam.

Kesimpulan

Kesinambungan sanad dalam menuntut ilmu agama adalah tanda kesahihan dan keberkatan ilmu. Melalui sanad, kita bukan sahaja menerima maklumat, tetapi juga adab, kefahaman, dan roh ilmu sebagaimana yang diwarisi daripada Rasulullah ﷺ.

Justeru, setiap penuntut ilmu hendaklah berhati-hati dalam memilih guru, memastikan ilmunya bersumber daripada rangkaian sanad yang sahih dan dipercayai. Dengan cara inilah, agama Islam terus terpelihara daripada penyelewengan dan kekeliruan sepanjang zaman.

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top