Menjawab Tuduhan Orientalis: Mengaitkan Pernikahan Baginda Nabi ﷺ dengan Pedofilia?

Isu perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dengan Ummul Mukminin Saidatina ‘Aisha رضي الله عنها sering dijadikan bahan kritikan oleh sebahagian orientalis Barat. Tuduhan bahawa perkahwinan tersebut merupakan satu bentuk “pedofilia” bukan sahaja tidak berasaskan fakta, bahkan mencerminkan kegagalan memahami sejarah dengan metodologi yang adil. Ia lahir daripada kecenderungan menilai masyarakat lampau dengan kerangka pemikiran moden tanpa mengambil kira konteks budaya, sosial dan konsep kematangan manusia pada zaman tersebut.

Untuk memahami isu ini secara tepat, kita perlu kembali kepada asas yang dipegang dalam tradisi ilmu Islam, iaitu melihat sesuatu peristiwa berdasarkan konteks zamannya serta penjelasan para ulama muktabar.

Dalam Islam, kelayakan perkahwinan tidak ditentukan semata-mata oleh angka umur, tetapi berkait rapat dengan konsep baligh dan kemampuan (البلوغ والقدرة). Perkara ini dijelaskan oleh Imam An-Nawawi رحمه الله ketika mensyarahkan hadith berkaitan perkahwinan Saidatina Aisyah RA:

وَفِيهِ جَوَازُ تَزْوِيجِ الصَّغِيرَةِ، وَأَنَّهُ لَا يَشْتَرِطُ فِي صِحَّةِ النِّكَاحِ بُلُوغُهَا

Namun para ulama turut menegaskan bahawa kehidupan sebagai suami isteri hanya berlaku setelah wujud kemampuan fizikal. Ini membuktikan bahawa syariat tidak mengabaikan aspek kematangan, bahkan mengiktirafnya sebagai asas penting dalam pembinaan rumah tangga.

Di sinilah berlakunya kekeliruan besar dalam hujah orientalis. Mereka menilai perkahwinan ini hanya berdasarkan angka umur menurut piawaian moden, sedangkan dalam realiti sejarah manusia, ukuran kematangan berbeza mengikut zaman dan budaya. Apa yang dianggap luar biasa pada hari ini bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat lampau.

Lebih daripada itu, dakwaan ini juga gagal mengambil kira satu hakikat sejarah yang sangat jelas, iaitu ketiadaan sebarang bantahan daripada musuh-musuh Nabi ﷺ sendiri. Kaum Quraisy yang terkenal sebagai penentang tegar baginda tidak pernah menjadikan perkahwinan ini sebagai bahan serangan. Sekiranya ia benar-benar dianggap tidak bermoral dalam konteks masyarakat ketika itu, sudah pasti ia akan dijadikan senjata utama untuk menjatuhkan baginda. Namun sejarah tidak mencatatkan hal tersebut, yang menunjukkan bahawa perkahwinan ini berada dalam lingkungan norma sosial yang diterima.

Selain itu, satu hujah yang sangat penting dan sering diabaikan ialah hakikat bahawa kebanyakan isteri Nabi ﷺ terdiri daripada balu dan ibu tunggal, bukan gadis muda. Hakikat ini membuktikan bahawa perkahwinan baginda tidak didorong oleh keinginan peribadi atau nafsu, tetapi sarat dengan tanggungjawab sosial dan hikmah kemanusiaan.

Sebagai contoh, Khadijah bint Khuwaylid RA adalah seorang janda ketika berkahwin dengan Nabi ﷺ, dan baginda hidup bersamanya secara monogami selama 25 tahun. Selepas kewafatan beliau, Nabi ﷺ mengahwini wanita-wanita seperti Saidatina Sawda bint Zam’a RA, Saidatina Hafsa bint Umar RA, Saidatina Zainab bint Khuzaimah RA dan Saifatina Ummu Salamah رضي الله عنهن yang kebanyakannya adalah balu yang kehilangan suami, sebahagiannya dalam keadaan sukar dan memerlukan perlindungan.

Perkahwinan dengan mereka bukan sahaja menjaga kebajikan wanita tersebut, tetapi juga memberi perlindungan kepada anak-anak mereka serta mengangkat martabat wanita dalam masyarakat Arab yang ketika itu sering meminggirkan golongan balu. Ini menunjukkan bahawa perkahwinan Nabi ﷺ merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial yang praktikal, bukan sekadar hubungan peribadi.

Dalam konteks ini, perkahwinan baginda dengan Saidatina Aisyah RA perlu dilihat sebagai sebahagian daripada gambaran keseluruhan kehidupan baginda, bukan diasingkan secara selektif. Apabila dilihat secara menyeluruh, jelas bahawa kehidupan rumah tangga Nabi ﷺ tidak mencerminkan doktrin yang didakwa oleh orientalis.

Tambahan pula, hakikat kehidupan Saidatina Aisyah RA sendiri menjadi bukti paling jelas dalam menolak dakwaan tersebut. Beliau muncul sebagai antara tokoh ilmuwan terbesar dalam sejarah Islam. Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan:

وَكَانَتْ عَائِشَةُ أَفْقَهَ نِسَاءِ الْأُمَّةِ عَلَى الْإِطْلَاقِ

Manakala Imam Az-Dzahabi menegaskan:

وَهِيَ مِنْ أَفْقَهِ نِسَاءِ الْأُمَّةِ بَلْ وَمِنْ أَفْقَهِ الصَّحَابَةِ عَلَى الْإِطْلَاقِ

Kedudukan ini tidak mungkin dicapai sekiranya beliau berada dalam hubungan yang bersifat eksploitasi. Sebaliknya, beliau dibentuk sebagai pendidik umat dan penyampai ilmu yang utama.

Para ulama juga menjelaskan bahawa perkahwinan Nabi ﷺ mempunyai tujuan yang luas. Imam Ibn Katsir menyatakan:

وَكَانَتْ حِكْمَةُ تَزْوِيجِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعِدَّةِ نِسَاءٍ لِمَصَالِحَ دِينِيَّةٍ وَتَشْرِيعِيَّةٍ

Ini menunjukkan bahawa perkahwinan baginda berkait dengan penyampaian syariat, pendidikan umat, serta pembinaan masyarakat.

Akhirnya, penggunaan istilah “pedofilia” dalam isu ini adalah satu kesalahan ilmiah yang besar. Istilah tersebut merupakan kategori psikologi moden yang tidak boleh diaplikasikan secara sewenang-wenangnya kepada masyarakat lampau. Ibn Qayyim al-Jawziyyah telah menjelaskan prinsip penting:

لَا يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الْأَحْكَامِ بِتَغَيُّرِ الزَّمَانِ وَالْأَحْوَالِ

Tidak boleh diingkari perubahan sesuatu hukum yang berlaku disebabkan perubahan zaman dan keadaan.

Maka menilai peristiwa sejarah tanpa memahami perubahan zaman dan adat adalah satu kesalahan metodologi yang jelas.

Kesimpulannya, tuduhan terhadap Nabi Muhammad ﷺ dalam isu ini tidak mempunyai asas yang kukuh. Ia berpunca daripada kegagalan memahami konteks sejarah, salah guna istilah moden, serta pengabaian terhadap keseluruhan gambaran kehidupan baginda. Sebaliknya, apabila dilihat secara adil, jelas bahawa perkahwinan Nabi ﷺ dengan kesemua isteri baginda, termasuk dengan Saidatina Aisyah RA adalah berlaku dalam kerangka yang sah, berakhlak dan penuh hikmah.

Lebih penting daripada itu, kehidupan rumah tangga baginda secara keseluruhan memperlihatkan satu model yang sarat dengan rahmah, tanggungjawab sosial dan keadilan yang mana, ia sesuatu yang jauh daripada gambaran sempit yang cuba dibina oleh orientalis.

“musuh Islam selalu mencuba untuk memburukkan imej baginda Nabi ﷺ, namun Allah taala telah memelihara baginda. Bagi tu juga, bagi ummat Nabi ﷺ, jika kita belajar dab mengetahui hakikat sesuatu perkara dengan betul, segala fitnah dan tohmahan jahat terhadap baginda ﷺ akan dapat dijawab.

Penyusun : Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin (Penasihat Syariah Agami Group sdn bhd)

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top