Rahsia Disebalik Ungkapan Solawat al-Masyisyiyyah

Penyusun : Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin (Penasihat Syariah Agami Group Sdn Bhd)

Dalam artikel sebelum ini, saya telah berkongsi lafaz Solawat al-Masyisyiyyah dan pernyataan Ulama’ tentang kaedah dan kelebihan membacanya. Namun, setiap amalan zikir itu, tidak akan sempurna dan tidak mencapai hakikatnya jika tidak disertai dengan kefahaman terhadap isi kandungannya.

Maka dalam tulisan kali ini, saya cuba menghuraikan makna yang terkandung dalam lafaz Solawat al-Masyisyiyyah ini agar setiap yang membacanya, benar-benar dapat menghayatinya. Apatah lagi, Imam Abdul Salam al-Masyisyi telah mengungkapkannya dengan ungkapan maknawi yang tinggi.

Berikut adalah huraian terhadap lafaz dan Istilah-Istilah Tasawuf yang terdapat dalam Ṣolawat al-Mashīshiyyah

1. “مِنْهُ انْشَقَّتِ الأَسْرَارُ” – Terbelahnya Segala Rahsia

Istilah al-asrār (الأسرار) merujuk kepada rahsia-rahsia Ilahi yang tersembunyi daripada makhluk. Dalam tasawuf, ia mengisyaratkan kepada pengetahuan ladunni yang tidak dicapai dengan logik akal semata-mata. Sebagai contoh, ilmu yang dikurniakan Allah taala kepada Nabi Khidir AS yang dirakamkan kisahnya di dalam Surah al-Kahfi.

Ungkapan ini bermaksud:
Rasulullah ﷺ adalah asal pancaran segala rahsia ketuhanan kepada alam.

2. “وَانْفَلَقَتِ الأَنْوَارُ” – Terpancarnya Segala Cahaya

Al-Anwār (أنوار) ialah cahaya hidayah, makrifat dan iman. Para sufi memahami bahawa cahaya makrifat Allah sampai kepada manusia melalui perantaraan Nabi Muhammad .

Ini selari dengan kefahaman Ahl al-Sunnah bahawa Nabi ﷺ adalah wasilah syar‘iyyah, bukan sumber ketuhanan.

3. “الْوَاسِطَةُ” – Perantaraan (Wasilah)

Istilah al-wāsiṭah merujuk kepada Nabi ﷺ sebagai perantara rahmat Allah kepada makhluk.

Ini bukan aqidah hulul (bertempat) atau ittihad (penyatuan), tetapi kefahaman bahawa:

Allah menjadikan Rasul-Nya ﷺ sebagai sebab turunnya hidayah, syariat dan rahmat.

Tanpa wasilah, manusia akan tenggelam dalam kekeliruan. Tanpanya juga manusia tidak akan mengenal dan sampai kepada Allah SWT

4. “بِحَارِ الأَحَدِيَّةِ” – Lautan Ahadiyyah

Ahadiyyah dalam tasawuf merujuk kepada keesaan mutlak Allah, sebelum difahami melalui sifat dan nama.

Masuk ke “lautan Ahadiyyah” bukan bermaksud bersatu dengan Allah, tetapi lenyapnya pergantungan hati kepada selain Allah.

5. “أَوْحَالِ التَّوْحِيدِ” – Lumpur Tauhid

Ini antara istilah yang sering disalahfahami.

“Lumpur tauhid” bukan mencela tauhid, tetapi ia menggambarkan tauhid yang hanya tinggal pada lafaz dan konsep, namun sunyi daripada adab, penghayatan, dan perubahan akhlak.

Tasawuf mahu membawa seseorang keluar daripada tauhid teori kepada tauhid yang hidup.

6. “عَيْنِ بَحْرِ الْوَحْدَةِ” – Mata Air Kesatuan

Ia merujuk kepada penyaksian keesaan Allah dalam makna yang meliputi:

  • melihat segala sebab sebagai ciptaan,
  • menyedari segala gerak sebagai di bawah tadbir Allah,
  • tanpa menafikan syariat atau perbezaan makhluk.

7. “الْحِجَابُ الأَعْظَمُ” – Hijab Agung

Dalam tasawuf, Rasulullah ﷺ disebut sebagai Hijab Agung, bukan kerana Baginda menghalang, tetapi kerana Baginda adalah cermin paling sempurna untuk mengenal Allah.

Ia juga menjelaskan bahawa mengenal Allah tanpa adab kepada Rasulullah ﷺ akan membawa kepada kesesatan.

والله أعلم

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top