Ṣolawat  al-Mashīshiyyah (صلاة الفتح والقرب ) Pembuka Rahsia, Jalan Mendekatkan Diri

Penyusun : Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin (Panel Syariah Agami Group Sdn Bhd)

Dalam khazanah tasawuf Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah, terdapat selawat-selawat yang bukan sekadar rangkaian lafaz, tetapi peta perjalanan rohani. Antara yang paling masyhur dan tinggi kedudukannya ialah Ṣalāt al-Mashīshiyyah, juga dikenali sebagai Ṣalāt al-Fatḥ wa al-Qurb, karangan al-Qutb al-‘Ārif billāh Sayyid ‘Abd al-Salām ibn Bashīsh al-Ḥasanī رحمه الله.

Selawat ini menjadi warisan utama ṭarīqah Shādhiliyyah dan dipuji oleh ramai ulama sebagai antara صيغة selawat yang paling mendalam maknanya, paling luas rahsianya, dan paling besar kesannya terhadap hati.

Lafaznya seperti berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مَنْ مِنْهُ انْشَقَّتِ الأسْرَارُ. وَانْفَلَقَتِ الأنْوَارُ. وَفِيهِ ارْتَقَتِ الْحَقَائِقُ. وَتَنَزَّلَتْ عُلُومُ آدَمَ فَأعْجَزَ الْخَلاَئِقِ. وَلَهُ تَضَاءَلَتِ الْفُهُومُ فَلَمْ يُدْرِكْهُ مِنَّا سَابِقٌ وَلاَ لاَحِقٌ. فَرِيَاضُ الْمَلَكُوتِ بِزَهْرِ جَمَالِهِ مُونِقَةٌ. وَحِيَاضُ الْجَبَرُوتِ بِفَيْضِ أنْوَارِهِ مُتَدَفِّقَةٌ. وَلاَ شَيْءَ إِلاً وَهُوَ بِهِ مَنُوطٌ. إِذ لَوْلاَ الْوَاسِطَةُ لَذَهَبَ كَمَا قِيلَ الْمَوْسُوطُ. صَلاَةً تَلِيقُ بِكَ مِنْكَ إِلَيْهِ كَمَا هُوَ أهْلُهُ اللَّهُمَّ إِنَّهُ سِرُّكَ الْجَامِعُ الدَّالُ عَلَيْكَ. وَحِجَابُكَ الأعْظَمُ الْقَائِمُ لَكَ بَيْنَ يَدَيْكَ. اللَّهُمَّ ألْحِقْنِي بِنَسَبِهِ. وَحَقِّقْنِي بِحَسَبِهِ. وَعَرِّفْنِي إِيَّاهُ مَعْرِفَةً أسْلَمُ بِهَا مِنْ مَوَارِدِ الْجَهْلِ. وَأكْرَعُ بِهَا مِنْ مَوَاهب الْفَضْلِ. وَاحْمِلْنِي عَلَى سَبِيلِهِ إِلَى حَضْرَتِكَ. حَمْلاً مَحْفُوفاً بِنُصْرَتِكَ. وَاقْذِفْ بِيَ عَلَى الْبَاطِلِ فَأدْمَغَهُ وَزُجَّ بِي فِي بِحَارِ الأحَدِيَّةِ وَانْشُلْنِي مِنْ أوْحَالِ التِّوْحِيدِ وَأغْرِقْنِي فِي عَيْنِ بَحْرِ الْوَحْدَةِ حَتَّى لاَ أرَى وَلاَ أسْمَعَ وَلاَ أجِدَ وَلاَ أُحِسَّ إِلاً بِهَا وَاجْعَلِ الْحِجَابَ الأعْظَمَ حَيَاةَ رُوحِي، وَرُوحَهُ سِرَّ حَقِيقَتِي وَحَقِيقَتَهُ جَامِعَ عَوَالِمِي بِتَحْقِيقِ الْحَقِّ الأوَّلِ يَا أوَّلُ يَا آخِرُ يَا ظَاهِرُ يَا بَاطِنُ اسْمَعْ نِدَائِي بِمَا سَمِعْتَ نِدَاءَ عَبْدِكَ زَكَرِيَّا وَانْصُرْنِي بِكَ لَكَ وَأيِّدْنِي بِكَ لَكَ وَاجْمَعْ بَيْنِي وَبَيْنَكَ وَحُلْ بَيْنِي وَبَيْنَ غَيْرِكَ

الله الله الله

{ إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَى مَعَادِ }

 { رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وهيئ لَنَا مِنْ أمْرِنَا رَشَداً }

 { إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا }

Maksudnya:

“Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas insan yang daripadanya terbelah segala rahsia, dan daripadanya terpancar segala cahaya.
Pada dirinya terjulang hakikat-hakikat kebenaran, dan kepadanya diturunkan ilmu-ilmu Nabi Ādam AS , sehingga seluruh makhluk menjadi tidak mampu menandinginya.
Kerana keagungannya, seluruh kefahaman menjadi kerdil (sehingga) tidak seorang pun daripada kami, sama ada yang terdahulu mahupun yang terkemudian yang mampu mencapai hakikatnya.

Maka taman-taman alam malakut menjadi subur dengan bunga keindahan baginda, dan kolam-kolam alam jabarut melimpah dengan curahan cahaya baginda.
Tiada sesuatu pun melainkan ia bergantung kepadanya; kerana jika bukan kerana perantaraan ini, nescaya yang diperantarakan itu akan lenyap, sebagaimana yang disebutkan.

Solawat (Rahmat) yang selayaknya bagi-Mu, daripada-Mu, kepada baginda, sebagaimana kelayakan-Nya.

Ya Allah, sesungguhnya baginda adalah rahsia-Mu yang menghimpunkan segalanya dan yang menunjukkan kepada-Mu;
dan baginda adalah hijab-Mu yang paling agung, yang berdiri untuk-Mu di hadapan-Mu.

Ya Allah, hubungkanlah aku dengan nasab baginda, dan capaikanlah aku dengan kedudukan baginda.

Perkenalkanlah aku kepada baginda dengan suatu pengenalan yang dengannya aku selamat daripada sumber-sumber kejahilan,
dan aku meneguk dengannya daripada kurniaan-kurniaan kelebihan-Mu.

Bawalah aku menelusuri jalan baginda menuju ke hadrat-Mu,
dengan suatu perjalanan yang disertai pertolongan-Mu.

Hempaskanlah aku ke atas kebatilan hingga Engkau menghancurkannya,
dan lontarkanlah aku ke dalam lautan keesaan-Mu.

Cabutlah aku serta-merta daripada lumpur-lumpur cetek pemahaman tauhid (yang menyesatkan),
dan tenggelamkanlah aku ke dalam lubuk lautan keesaan-Mu,
sehingga aku tidak melihat, tidak mendengar, tidak merasakan dan tidak menyedari melainkan dengannya.

Jadikanlah hijab-Mu yang paling agung itu sebagai kehidupan rohku,
dan jadikan roh baginda sebagai rahsia hakikat diriku,
dan jadikan hakikat baginda sebagai himpunan seluruh alamku,
dengan tahqiq terhadap al-Haqq Yang Awal.

Wahai Yang Awal, Wahai Yang Akhir, Wahai Yang Zahir, Wahai Yang Batin,
dengarlah seruanku sebagaimana Engkau telah mendengar seruan hamba-Mu Zakariyya.

Tolonglah aku dengan-Mu untuk-Mu, dan kuatkanlah aku dengan-Mu untuk-Mu.

Himpunkanlah aku dengan-Mu, dan pisahkanlah aku daripada selain-Mu.

Allah… Allah… Allah…”

“Sesungguhnya Tuhan yang mewajibkan ke atasmu al-Qur’an itu pasti akan mengembalikan engkau ke tempat kembali.”
(al-Qaṣaṣ: 85)

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi-Mu, dan sediakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami.”
(al-Kahf: 10)

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam dengan sepenuh-penuhnya.”
(al-Aḥzāb: 56) – selesai terjemahan.

Keterangan Para Ulama

Imam al-Nabhānī   رحمه الله تعالىberkata:

“Inilah selawat Sīdī ‘Abd al-Salām ibn Bashīsh, dan ia termasuk antara صيغة  selawat yang paling masyhur serta mempunyai kelebihan yang sangat besar.”

Al-‘Allāmah Sayyid Muḥammad ‘Ābidīn (penulis Ḥāshiyah al-Durr) menyebut dalam catatan sanadnya:

“Selawat ini telah dinukilkan oleh al-Shihāb Aḥmad al-Nakhlī dan muridnya al-Shihāb al-Munīnī dalam catatan sanad mereka.
Al-Nakhlī menyebut bahawa beliau mengambilnya daripada Syaikh Aḥmad al-Bābilī dan Syaikh ‘Īsā al-Tsa‘ālibī.

Mereka berdua memerintahkannya agar dibaca sekali selepas Subuh dan sekali selepas Maghrib.”

Beliau menambah:

“Aku juga melihat dalam sebahagian catatan bahawa ia dibaca tiga kali selepas Subuh, Maghrib dan Isyak.  Dalam membacanya terdapat rahsia-rahsia dan cahaya-cahaya yang hakikatnya tidak diketahui melainkan oleh Allah Ta‘ala. Dengan membacanya, turunlah bantuan Ilahi dan pembukaan Rabbani.


Pembaca yang mengamalkannya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, akan dilapangkan dadanya, dipermudahkan urusannya, dipelihara oleh Allah daripada segala bencana, musibah dan penyakit zahir serta batin, ditolong ke atas segala musuh, dikuatkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Agung dalam seluruh urusannya dan sentiasa berada dalam perhatian dan penjagaan Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi, serta dalam perhatian Rasul-Nya ﷺ.

Manfaatnya akan jelas dengan istiqamah membacanya, disertai kejujuran, keikhlasan dan taqwa.”

Kemudian beliau menutup dengan firman Allah Ta‘ala:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
(al-Nūr: 52)

Imam al-Nabhānī juga menyebut bahawa sebahagian tokoh besar para arif daripada kalangan masyaikh ṭarīqah Shādziliyyah telah menambah beberapa lafaz mulia ke dalam selawat ini dan menjadikannya sebagai wirid yang dibaca pagi dan petang oleh ahli tariqah tersebut.

Moga Allah memberi manfaat kepada kita melalui mereka.

Selawat Ini Bukan Sekadar Bacaan, Tetapi Mengandungi Manhaj

Apabila kita meneliti kandungan selawat ini, kita dapati ia tidak hanya memuji Rasulullah ﷺ, tetapi:

  1. Menjelaskan peranan dan kedudukan Nabi ﷺ dalam kewujudan
  2. Mengajar adab berjalan menuju Allah melalui Rasul-Nya ﷺ,
  3. Membimbing pembaca keluar daripada tauhid yang kering menuju tauhid yang hidup dan dirasai.

Bagaimana selawat ini telah menunjukkan keberkesanannya dalam mendidik jiwa? Tidak lain tidak bukan, ialah kerana kandungan maknanya yang berat dan mendalam. Dalam lafaz solawat ini, terdapat perkataan dan frasa yang mengandungi makna kerohaniah yang tinggi dalam kesufian. Bagi mengetahui maknanya, boleh rujuk artikel kami bertajuk “ Rahsia Disebalik Ungkapan Solawat al-Masyisyiyyah”.

والله أعلم

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

1 thought on “Ṣolawat  al-Mashīshiyyah (صلاة الفتح والقرب ) Pembuka Rahsia, Jalan Mendekatkan Diri”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top