Adab Menghadiri Majlis Maulid

Foto Majlis Maulid Darul Murtadza, Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa.

Susunan: Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin – Panel Syariah Agami Group Sdn Bhd

الحمد لله وكفى, والصلاة والسلام على رسوله المصطفى وعلى آله وصحبه ومن اهتدى, أما بعد

Hukum dan dalil berkaitan sambutan Maulidurrasul SAW telah pun dijelaskan dalam artikel sebelum ini. Bahkan kami telah senaraikan sekurang-kurang terdapat 50 tokoh Ulama yang menyatakan keharusan menyambut Maulidurasul dan sebahagian mereka sendiri telah mengarang kitab khas tentang peristiwa kelahiran nabi Muhammad saw.

Dalam posting kali ini, kami fokuskan kepada tajuk Adab Menghadiri Majlis Maulid. Perkara ini sangat penting diberi perhatian kerana apa jua kebaikan yang dilakukan jika terasing daripada adab-adabnya, maka hilanglah keberkatan dan manfaat daripada amalan tersebut.

Kata Abu Muhammad Ruwaym bin Ahmad al-Baghdadi (w303H) salah seorang tokoh ulama dan sufi terkenal, “jadikanlah adabmu (kadar) tepung dalam adunan dan  ilmumu itu (kadar) garam (dalam makanan)”. Ia jelas menunjukkan betapa besar nisbah adab yang diperlukan  dalam kehidupan. Walaupun ilmu itu penting, namun menjaga adab adalah diutamakan kerana ia adalah lambang bagi ilmu yang dimanfaatkan.

Para Ulama’, guru-guru dan juga Mursyid sering mengingatkan untuk memelihara adab-adab, lebih-lebih lagi ketika menghadiri majlis meraikan kelahiran semulia-mulia makhluk Allah SWT. Sebahagiannya didapati dalam kitab-kitab maulid karangan mereka, begitu juga dalam pengajian dan nasihat yang disampaikan kepada kepada murid dalam majlis mereka.

Kami cuba menyusun adab-adab menghadiri majlis maulid ini kepada beberapa bahagian. Agar ianya dapat diikuti dengan tertib yang sempurna, sekaligus memberikan manfaat yang berbekas buat setiap yang menghadirinya.

Berikut adalah senarai adab yang perlu diamalkan:

Sebelum Menghadiri Majlis

1. Membersihkan diri, berwudhuk dan  mengikhlaskan niat:

Bersuci adalah penting sebelum hadir majlis maulid. Bukankah kita disunatkan mandi setiap kali hendak menghadiri majlis yang menghimpunkan orang ramai? Lengkapkanlah dengan wudhuk yang sempurna dari rumah agar nur daripada wudhu’ itu menambahkan keberkatan dalam setiap langkah kita. Baginda Nabi SAW juga menegah kita menghadiri perhimpunan orang ramai dalam keadaan yang boleh menyakiti atau mengganggu orang lain.  Setelah membersihkan zahir tubuh badan kita, sucikanlah pula batin kita dengan memurnikan niat  bahawa tujuan hadir adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT dan Rasulullah SAW dan menyertai segala amal kebaikan yang terdapat dalam majlis.

2. Menjaga Penampilan:

Berpakaianlah dengan kemas dan sesuai dengan syariat sebagai tanda menghormati Rasulullah SAW. Selalunya tema warna yang dipilih ialah warna putih kerana ia melambangkan kesucian, disamping menjadi warna kegemaran Nabi SAW. Jauhi pakaian kemegahan kerana ia boleh merosakkan niat dan tujuan asal hadir majlis maulid. Pesanan penting bagi kaum muslimat, pakailah pakaian yang melambangkan kehormatan diri seorang Muslimah. Jauhi berlebih-lebihan dalam berhias kerana majlis maulid adalah untuk kita memuliakan Nabi SAW dan bukannya pertunjukan fesyen. Disamping itu, disunatkan juga memakai wangian kerana ia termasuk daripada hal yang digemari Rasulullah SAW.

3. Hadir Awal:

Datanglah ke majlis lebih awal, sebelum majlis bermula sebagai tanda mentakzimkan majlis. Dalam upacara dan keraian kemasyarakatan dan adat, kita diingatkan agar hadir awal sebelum ketibaan tetamu kehormat dan sebelum bermulanya majlis. Maka, sepatutnya dalam majlis sambutan maulid ini juga, begitu. Biarlah kita yang menantikan mula majlis. Bukannya majlis yang menunggu kita. Adab ini bersalahan pula dengan tetamu terhormat atau tetamu utama yang selalunya dijadualkan hadir pada waktu kemuncak.

4. Membawa dan Menjaga Kitab:

Jika didalam majlis, ada digunakan kitab atau risalah yang terkandung bacaan maulid atau qasidah, maka muliakanlah ia dengan membawa dan memegangganya dengan tangan kanan dan tidak meletakkannya diatas lantai. Risalah-risalah ini pasti didalamnya ada tertulis nama Allah SWT, nama Nabi SAW dan jua ayat al-Quran. Meletakkannya diatas lantai adalah antara tanda tiada penghormatan terhadapnya.  

Sewaktu Majlis Berlangsung

1. Tunjukkan Kesungguhan dan Fokus:

Berikanlah sepenuh perhatian kepada majlis dengan mengikuti dan menghayati setiap bacaan selawat, qasidah dan tausiyah. Jauhi tingkah laku yang mengganggu majlis seperti berbual-bual hal yang tidak berkaitan atau apa sahaja yang menunjukkan tanda kurang minat terhadap majlis.

2. Duduk dengan Penuh Adab:

Seperti adab dalam majlis ilmu dan majlis zikir, setiap yang hadir hendaklah duduk dalam keadaan yang sopan. Sebaik-baik kedudukan adalah yang paling hampir dengan para ulama dan barisan hadapan. Jika didalam majlis itu terdapat Ulama’ dan orang-orang yang dimuliakan, hendaklah memuliakan mereka dengan mempelawa tempat yang sesuai dengan dirinya. Baginda Nabi SAW pernah memberikan rida’ baginda SAW kepada Saidina Jabir bin Abdullah RA untuk dijadikan alas. Baginda seraya memerintahkan agar memuliakan setiap orang, sesuai dengan darjatnya.

3. Menghadirkan Niat-niat yang Baik:

Majlis maulid ialah majlis yang diberkati, padanya terdapat amalan-amalan yang menjadi sebab Kabul doa dan hajat. Amalan seperti bacaan al-Quran, selawat, bersedekah dan kehadiran Ulama’ dan orang-orang soleh adalah asbab yang mengundang rahmat Allah SWT. Oleh kerana itu, manfaatkanlah peluang untuk memperbanyakkan niat dan doa yang baik. Sertakan juga ahli keluarga, sahabat-sahabat, para pemimpin dan umat Islam yang lain dalam doa yang kita panjatkan.

4. Menghayati Suasana:

Setiap kali kedengaran nama Nabi saw disebutkan, hendaklah diikuti dengan bacaan selawat. Begitu juga ketika hadirin bangun bagi melantunkan ‘Mahallul Qiyam’, hendaklah ikut berdiri seakan-akan sedang memberi penghormatan kerana kehadiran baginda Nabi SAW. Jika kita dituntut untuk bangun ketika mendengar lagu kebangsaan dinyanyikan, atau kerana hadir seorang raja dalam majlis kita, maka bangun untuk memuliakan bacaan selawat keatas Nabi SAW itu lebih dituntut.

5. Menjaga Batas Pergaulan:

Antara perkara penting yang perlu diambil berat ialah susun atur kedudukan jemaah lelaki dan wanita. Hendaklah diletakkan penghalang atau pembatas agar para Jemaah tidak duduk bercampur antara jantina. Ianya boleh menimbulkan fitnah dan membuka ruang maksiat.  Sebaiknya, Jemaah lelaki berapa di ruang hadapan dan wanita berada di belakang seperti keadaan saf dalam solat agar kehormatan wanita lebih terpelihara. Termasuk batas pergaulan juga, menjaga pandangan, kerana punca kepada maksiat , bermula dengan pandangan yang tidak dijaga. Nasihat khusus juga diberikan kepada anak muda yang hadir dengan couple masing-masing. Boleh jadi niatnya baik untuk sama-sama melakukan kebaikan. Namun jika dicemari dengan batas pergaulan yang dilanggar sebelum dan selepas majlis, hilanglah keberkatan daripada majlis tersebut.

6. Menyaringkan Suara

Melantunkan selawat dan qasidah dengan bersemangat, adalah hal yang baik. Namun, perlu menjaga adab-adabnya. Hindari dari suara yang memekik dan bingit. Kerana ungkapan qasidah itu ada makna-makna yang menggambarkan kerinduan, kecintaan dan harapan. Jangan samakan majlis maulid dengan konsert nyanyian yang bersifat hiburan. Begitu juga dengan suara yang dinyaringkan. Ia digalakkan bagi golongan lelaki, namun bagi wanita, mengeraskan suara itu adalah ditegah.

Setelah Selesai Majlis

1. Mendoakan Keberkatan:

Setelah melakukan amalan-amalan baik dalam majlis maulid, jangan lupa berdoa memohon kepada Allah SWT dengan bertawassul dengan amalan tersebut. Bahkan ia juga adalah merupakan maksud dan tujuan hadir bagi sehagian orang soleh. Antara perkara penting yang dimohon adalah agar kekal istiqamah mengingati nikmat Allah SWT berupa kurniaan seorang Nabi dan juga istiqamah mengamalkan sunnah baginda Nabi SAW dalam kehidupan. Juga supaya ditakdirkan kematian dalam keadaan yang terbaik. Bertawassul dengan amal soleh bermaksud, seseorang melakukan kebaktian dan ketaatan kepada Allah SWT, kemudian memohon ditunaikan hajatnya dengan perantara amal kebaktian tersebut.

2. Menyebarkan Kebaikan:

Amalkan pedoman dan pengajaran yang diperolehi dari majlis maulid untuk sentiasa memperbaiki akhlak dan diri sendiri. Seseorang yang menyampaikan kebaikan kepada orang lain, berpotensi mengembangkan pahalanya. Bahkan Nabi SAW telah berpesan kepada para sahabat yang mendengar nasihat baginda saw: “hendaklah yang hadir di kalangan kalian menyampaikan kepada yang tidak hadir. Boleh jadi orang yang disampaikan itu lebih peka berbanding irang yang mendengar secara langsung”. Sesiapa yang mengajak orang lain melakukan kebaikan, lalu diikuti. Maka dia akan mendapat pahala setiap orang yang mengikuti ajakannya tanpa dikurangi sedikit pun pahala mereka.



3. Mengakhiri Majlis dengan Istighfar

Setiap majlis, tidak dapat lari dari kekurangan dan kesilapan. Kerana itulah kita diajarkan agar mengucapkan Kaffaratul Majlis, agar segala kekurangan dan kelalaian itu diampunkan Allah SWT. Imam al-Baihaqi menukilkan riwayat  Abu al-Barzah al-Asalmi RA,

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْك (. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تَقُولُ كَلَامًا مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا خَلَا قَالَ: (هَذَا كَفَّارَةُ مَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ))

Maksudnya: “Maha suci Engkau ya Allah dan segala puji-pujian bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan engkau dan aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu. Mereka barkata: wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya kami mengucapkan perkataan yang diucapkan oleh Mu. Berkata Rasulullah SAW: ini adalah penutup bagi majlis”.

Kesimpulan

Jika kita perhatikan pada majlis ulangtahun keputeraan seorang raja, segala persiapan dilakukan berbulan-bulan lebih awal demi mengelakkan berlakunya sebarang kesilapan. Kerana jika kesilapan ini berlaku, ia bakal mengundang kemurkaan raja tersebut. Kita akan merasa bahagia setelah majlis selesai dengan jayanya tanpa sebarang kesilapan. Segala penat Lelah melakukan persiapan, akan hilang dengan kejayaan tersebut.

Maka bagaimana keadaannya dengan majlis yang kita adakan untuk meraikan manusia teragung dan termulia? Adakah kita sanggup melakukan perkara yang membuatkan baginda tidak senang dengan kita? Kerana itu, maka peliharalah adab-adab ini sebaiknya. Moga-moga kita semua mendapat Redha Allah SWT dan juga kekasihn-Nya yang kita raikan.

Sebelum mengakhiri tulisan ini, kami sertakan pesanan berharga daripada guru mulia Fadhilat Syeikh Yusri Sayyid Jabr al-Hasani yang dirakam sewaktu beliau memberikan tausiah dalam salah satu majlis maulid di negara jiran. Mari kita hayati ucapan beliau.

“sebelum saya memulakan ceramah saya, ada satu nasihat untuk sesiapa sahaja yang membuat acara seperti ini. Suara yang volumenya sangat keras ini akan mengakibatkan hilangnya pendengaran secara bertahap hanya dalam beberapa tahun sahaja. Sekiranya kalian sampai kepada usia seperti usiaku ini, kalian akan menjadi orang yang tuli, pekak dan tidak lagi mampu mendengar. Jika kalian berkekalan dengan kebiasaan seperti ini ( syeikh mengisyaratkan kepada alat-alat pemesar suara yang ada sekelilingnya), ia sangat-sangat merbahaya buat telinga kalian. Sedangkan telinga adalah pancaindera yang sangat penting buat manusia.

Maka sambutan (maulid) seperti ini, jika diteruskan seperti hal keadaan ini, akan memberi kemudaratan kepada orang Islam. Sedangkan syara’ telah menetapkan bahawa sesuatu kemudaratan hendaklah dihindari.

Aku sendiri secara peribadi, tidak mampu menanggungnya. Jantungku hampir-hampir terhenti. Kerana alat-alat (pembesar suara) ini menghasilkan gelombang yang kuat sehingga memberi Kesan masuk ke jantung dan mengubah daya letrik dalam jantung yang mungkin sahaja boleh membuat seseorang itu rebah. Dengan sebab bunyi yang kuat ini, boleh menghentikan degupan jantung.

Kalian ialah anak-anak yang masih muda belia. Jika terbiasa duduk dalam majlis seperti ini dalam dua hingga tiga hari, sehingga kamu ketika sampai usia 40-an nanti, akan hilang daya pendengaranmu. Perkara ini sangat berbahaya. Ia adalah pencemaran kepada pendengaran.

Begitu juga lampu-lampu (spotlight) yang bergerak-gerak ini, menjadi gangguan kepada penglihatan. Maka gabungan antara gangguan pendengaran dan gangguan penglihatan, bukan lagi dikira majlis sambutan (maulid), ia adalah ta’zib (penyeksaan) atau termasuk jalan-jalan penyeksaan kepada anak Adam”.

Nasihat yang disampaikan, walaupun agak tegas dan tajam, namun ianya penuh makna. Kerana sesuatu hal yang ingin diangkat menjadi ibadah disisi Allah SWT, mestilah bertepatan dengan dhawabith atau garis panduan yang ditetapkan oleh syara’. Jika sesuatu perkara bertentangan dengannya, ia tidak akan memberi faedah, bahkan boleh membawa kepada kemudaratan

Semoga tulisan ini memberi manfaat buat kita semua para pencinta baginda Nabi Muhammad SAW. Wallahu a’lam

link rakaman ucapan Fadhilatul Syeikh Dr Yusri Sayyid Jabr : https://www.instagram.com/reel/DLmPEjkhGNJ/?igsh=Y2tvNnlsbjZxOHBz

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top