
Penyusun adalah Panel Syariah Agami Group Sdn Bhd
Pendahuluan
Surah al-Ḍuḥā merupakan salah satu surah Makkiyyah yang mengandungi ungkapan kasih sayang, jaminan pemeliharaan dan janji kurnia daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam al-Shifā’ bi Ta‘rīf Ḥuqūq al-Muṣṭafā, al-Qāḍī ‘Iyāḍ memberikan huraian mendalam tentang enam bentuk kemuliaan yang Allah SWT nyatakan dalam surah ini. Penafsiran beliau menonjolkan kedudukan Nabi SAW sebagai kekasih Allah dan peranan Baginda sebagai rahmat bagi seluruh alam.
Sebab Turun Surah yang Mulia ini
Terdapat perbezaan pendapat tentang sebab turunnya surah ini. Darada Saidina Jundub RA, dia mengatakan; Rasulullah SAW merasakan sakit sehingga tidak dapat bangun satu atau dua malam. Maka datanglah seorang perempuan Quraisy kepada baginda dan berkata, “Wahai Muhammad, aku berpandangan bahawa syaitanmu telah meninggalkanmu.” Maka Allah menurunkan ayat 1-3 surah ini.
Ada pula yang mengatakan; Jibril AS lama tidak menemui Nabi SAW sehingga orang-orang musyrik berkata, “ia telah meninggalkan Muhammad.” Maka turunlah ayat tersebut.
Al-Hakim meriwayatkan dari Zaid bin Arqam RA, dia mengatakan; Rasulullah SAW diam di rumah selama beberapa hari kerana Jibril AS tidak turun kepada beliau. Ummu Jamil, isteri dari Abu Lahab kemudian berkata kepada baginda SAW, “Aku berpandangan bahawa sahabatmu itu (Jibril) telah meninggalkanmu dan membencimu.” Maka Allah menurunkan ayat, “Demi waktu dhuha.”
Teks dan Terjemahan
Firman Allah SWT,
﴿وَالضُّحَى (١) وَٱلَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ (٢) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ (٣) وَلَلْأَخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ ٱلْأُولَىٰ (٤) وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ (٥) أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ (٦) وَوَجَدَكَ ضَآلًّۭا فَهَدَىٰ (٧) وَوَجَدَكَ عَآئِلًۭا فَأَغْنَىٰ (٨) فَأَمَّا ٱلْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ (٩) وَأَمَّا ٱلسَّآئِلَ فَلَا تَنْهَرْ (١٠) وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ (١١)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.
- Demi waktu dhuha (ketika matahari naik sepenggalahan),
- Dan demi malam apabila telah sunyi,
- Tuhanmu tiada sekali-kali meninggalkanmu dan tiada (pula) membencimu,
- Dan sesungguhnya kesudahan (kehidupan akhirat) itu lebih baik bagimu daripada permulaan (kehidupan dunia),
- Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu, sehingga engkau merasa puas,
- Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu?
- Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang keliru, lalu Dia memberikan petunjuk,
- Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang fakir, lalu Dia memberikan kecukupan.
- Maka terhadap anak yatim, janganlah engkau berlaku sewenang-wenang.
- Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau menghardiknya.
- Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur).
Al-Qāḍī al-Imām Abū al-Faḍl ‘Iyāḍ rahimahullah menyatakan bahawa surah ini mengandungi enam bentuk kemuliaan Allah SWT kepada Baginda SAW:
- Sumpah Allah kepada Baginda SAW dengan firman-Nya: (وَالضُّحَى (١) وَٱلَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ), yakni “Demi Tuhan dhuha dan demi malam apabila sunyi.” Ini adalah bentuk penghormatan yang amat agung.
- Pernyataan kedudukan dan kemuliaan Baginda di sisi Allah dengan firman-Nya: (مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ), yakni Allah tidak meninggalkanmu dan tidak membencimu. Ada yang menafsirkan: Allah tidak mengabaikanmu setelah Dia memilihmu.
- Janji kebaikan akhirat melebihi dunia melalui firman-Nya: (وَلَلْأَخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ ٱلْأُولَىٰ). Ibn Isḥāq RA menafsirkan bahawa kesudahanmu di sisi Allah lebih agung daripada kemuliaan dunia. Sahl bin Abdillah RA pula menafsirkan sebagai ganjaran syafaat dan maqām maḥmūd yang lebih baik daripada pemberian dunia.
- Jaminan kurnia yang memuaskan hati Baginda dengan firman-Nya: (وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ). Ibn Isḥāq menafsirkan bahawa Allah memuaskan Baginda dengan kemenangan di dunia dan pahala di akhirat. Riwayat daripada Ahlul Bait menyatakan bahawa ayat ini adalah yang paling memberi harapan, kerana Baginda tidak akan reda jika ada seorang pun daripada umatnya masuk ke neraka.
- Penghitungan nikmat Allah kepada Baginda dalam baki ayat surah ini: (أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ وَوَجَدَكَ ضَآلًّۭا فَهَدَىٰ وَوَجَدَكَ عَآئِلًۭا فَأَغْنَىٰ). Allah mengingatkan bahawa Dia memelihara Baginda sejak kecil, dalam keadaan miskin dan yatim, sebelum mengenal-Nya; maka mustahil Dia akan meninggalkan Baginda setelah memilih dan mengistimewakannya.
- Perintah menyatakan nikmat-Nya dengan firman-Nya: (وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ), yang merupakan arahan khusus bagi Baginda tetapi umum hukumnya bagi umatnya. Antara bentuk syukur adalah dengan menyebut-nyebut nikmat tersebut.
Kesimpulan
Huraian al-Qāḍī ‘Iyāḍ terhadap Surah al-Ḍuḥā menunjukkan betapa besar perhatian Allah SWT terhadap Nabi Muhammad SAW, khususnya ketika Baginda melalui fasa ujian dan kesedihan. Keenam-enam bentuk kemuliaan yang disebut dalam surah ini bukan sahaja memantapkan kedudukan Baginda, bahkan menjadi sumber penghiburan dan motivasi bagi umat Islam untuk tetap teguh dalam dakwah dan ketaatan.