Pertama kali menjejakkan kaki di Uzbekistan

TRAVELOG: KEMBARA ILMU HADITH DI UZBEKISTAN (Bhgn 1)

KEMBARA ILMU HADITH DI UZBEKISTAN

Penulis : Megat Mohd Zaid Megat Azmuddin (Panel Syariah Agami Group Sdn Bhd)

Sejarah perkembangan Islam di wilayah Samarkand, Khurasan dan negara-negara yang diberi julukan negara Mā Warāʾa al-Nahr ( ما وراء النهر ) – “Negeri-negeri di Sebalik Sungai” –   telah ditulis dengan tinta emas dalam lipatan tamadun Islam. Lokasinya yang strategik sebagai laluan perdagangan timur ke barat sejak zaman-berzaman menjadikan  kawasan ini medan pertembungan pelbagai budaya, bangsa dan pemikiran.


Sudah lama penulis menyimpan hasrat untuk menziarahi bumi Uzbekistan ini. Dorongan paling kuat datang daripada keinginan menjejaki jejak para tokoh agung dunia Islam – antaranya Imam al-Bukhari, Imam Abu Mansur al-Maturidi, Imam Baha’uddin an-Naqsyabandi, serta sahabat dan sepupu Nabi SAW, Sayyidina Qutsam bin al-‘Abbas RA – selain tokoh-tokoh besar lainnya yang telah mencorak sejarah ilmu dan rohani umat ini.

Apa yang mejadikan perjalanan ini lebih istimewa ialah apabila direzekikan dapat bermusafir bersama guru yang dimuliakan, Syeikh Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari. Dalam catatan ini, penulis akan berkongsi pengalaman kembara selama 8 hari merentasi tiga wilayah utama Uzbekistan: Tashkent, Bukhara dan Samarkand. Mudah-mudahan perkongsian ini bermanfaat buat para pembaca, sama ada yang meminati sejarah, ingin bermusafir, atau sekadar mencari hikmah dalam pengalaman orang lain.

Hari Pertama: Langkah Pertama di Tashkent

Perjalanan kami bermula dari KLIA Terminal 1. Rombongan berkumpul bagi mendengar taklimat ringkas daripada wakil Yusr Travel, agensi yang menyelaras perjalanan kami. Taklimat ini disempurnakan dengan doa dan taujihat oleh Syeikh Mohd Nazrul, memberi semangat dan arah tujuan buat hati-hati yang bakal bermusafir.

Kami berangkat ke Uzbekistan menaiki pesawat Uzbekistan Airways, dengan penerbangan terus selama 8 jam. Kelebihan penerbangan secara ‘direct flight’ sangat membantu mengurangkan kepenatan perjalanan yang panjang. Layanan kru pesawat, makanan yang disediakan serta suasana penerbangan – kesemuanya menjadi salam perkenalan kepada budaya rakyat Uzbekistan.

Antara petua penting sebelum bermusafir ke luar negara adalah mengambil tahu lebih awal tentang cuaca, adat budaya, makanan, kemudahan ibadah dan beberapa perkara asas yang lain. Tujuannya agar kita tidak kekok menyesuaikan diri dan dapat menyelami keindahan suasana dengan tenang tanpa kejutan budaya yang mengganggu perjalanan.

Bagi yang merancang ke Uzbekistan, penerbangan Uzbekistan Airways tersedia dua kali seminggu – setiap Isnin dan Khamis.

Tiba di Tashkent

Kami tiba di Tashkent sekitar jam 4:40 petang, waktu tempatan. Di pintu ketibaan, kami disambut mesra oleh pemandu pelancong kami, seorang anak muda berusia 24 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Shah. Berkelulusan sarjana muda dalam bidang pelancongan dari universiti tempatan, beliau fasih berbahasa Melayu (loghat Indonesia) dan memiliki pengetahuan sejarah yang mengagumkan. Perwatakannya yang tenang dan tutur katanya yang tertib menambahkan kemesraan dalam perjalanan kami.

Destinasi pertama kami di Tashkent ialah Masjid Islom Ota, sebuah masjid utama yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang. Kompleksnya sangat cantik, dihiasi landskap taman yang tenang dan seni bina dalaman yang menakjubkan. Daripada ukiran daun pada pintunya, hingga ruang wuduk dan ruang solat yang bersih dan terancang – semuanya mendamaikan jiwa yang baru tiba dari perjalanan jauh.

Di masjid ini, kami menunaikan solat Zohor dan Asar secara jama’ ta’khir, kemudian terus ke hotel untuk makan malam dan berehat seketika.

Pertemuan Berharga di Malam Pertama

Namun aktiviti hari pertama belum lagi berakhir.

Sebelum naik ke bilik, Syeikh Mohd Nazrul memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi seorang tokoh penting di Uzbekistan, dan akan bertemu dengannya selepas solat Isyak malam itu. Beliau turut mempelawa saya untuk turut serta.

Selesai membersihkan diri dan menyusun barang di bilik penginapan, saya menerima pesanan daripada adik Syeikh Mohd Nazrul, memaklumkan bahawa tetamu yang dimaksudkan telah tiba, dan pertemuan akan diadakan di lobi hotel sahaja.

Saya segera turun dan melihat Syeikh Nazrul sedang berbual mesra dengan seorang lelaki berpenampilan sederhana, namun aura ilmunya jelas terpancar. Beliau adalah Syeikh Ismail bin Muhammad Sadiq, anak kepada Syeikh Muhammad Sadiq bin Muhammad Yusuf – mufti pertama Uzbekistan selepas kemerdekaan (berkhidmat 1989–1993). Beliau bukan sekadar mufti bagi negaranya, malah dikenali sebagai Mufti seluruh wilayah Mā Warāʾa al-Nahr, meliputi keseluruhan Asia Tengah.

Perbualan antara Syeikh Nazrul dan Syeikh Ismail berlangsung hampir satu jam setengah, dalam bahasa Arab. Pelbagai topik dibincangkan – daripada Majlis Sama’ Hadith Bukhari yang dihadiri Syeikh Ismail di Kuala Lumpur tahun lalu, hinggalah kisah perjalanan ilmu ayahanda beliau yang sangat menginspirasi.

Syeikh Ismail turut menyatakan kesediaan untuk membantu keperluan kami sepanjang berada di Uzbekistan. Salah satu permintaan utama ialah bantuan untuk menziarahi maqam Amirul Mukminin fil Hadith – al-Imam al-Bukhari, dan beliau menyambutnya dengan baik.

Penutup Hari Pertama

Hari pertama kembara kami di Uzbekistan berakhir dengan satu kenangan yang sangat indah – duduk bersama tokoh ulama tempatan yang menyambung warisan ayahanda yang mulia. Ia adalah permulaan yang luar biasa.

Sebagaimana kata syair Arab:

لُقْيَا الأَحِبَّةِ طِبٌّ يُسْتَطَبُّ بِهِ”
Pertemuan dengan orang-orang yang dikasihi, adalah penawar yang menyembuhkan jiwa yang luka.

Malam itu, kami benar-benar merasai kebenaran bait tersebut.

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

2 thoughts on “TRAVELOG: KEMBARA ILMU HADITH DI UZBEKISTAN (Bhgn 1)”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top