Menghayati Bacaan Doa Iftitah dan Kesannya kepada Solat dan Kehidupan

Penulis: Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin, Panel Syariah Agami Group Sdn Bhd

Pengenalan

Doa Iftitah atau istiftah merupakan bacaan sunat dalam solat yang dikategorikan sunat ab‘ad. Ia  dibaca sejurus selepas takbiratul ihram dan sebelum bacaan al-Fatihah. Dinamakan iftitah atau istiftah, sesuai dengan fungsinya sebagai pembuka ibadah solat yang mengandungi makna penyucian hati dan menyedarkan diri akan kehadiran di hadapan Allah SWT. Meskipun bukan rukun atau wajib, amalan membaca doa ini membawa pelbagai kelebihan dari sudut kerohanian, kekhusyukan serta kesan positif kepada ibadat solat dan kehidupan seorang Muslim.

Riwayat dan Maksud Doa Istiftah

Antara lafaz doa istiftah yang paling masyhur ialah:

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ، كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ, اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الْخَطَايَا، كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ

 اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ

Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah antara aku dan kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau menjauhkan antara timur dan barat. Ya Allah! Bersihkanlah aku daripada kesalahan sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. Ya Allah! Cucilah kesalahanku dengan air, salji dan embun sejuk.” (Riwayat Imam Bukhari)

Selain daripada itu, ada juga riwayat yang masyhur dengan bacaan doa  baginda Nabi,

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا، وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، اللهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي، وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي،

وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ،

وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ،

تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Maksudnya: “Aku hadapkan wajahku kepada Zat yang Maha Pencipta langit dan bumi sebagai Muslim yang ikhlas dan aku bukan termasuk dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Oleh kerana itu, aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang aku berserah diri. Ya Allah, Engkaulah Maha Penguasa. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau dan Maha Terpuji. Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku telah menzalimi diriku sendiri dan akui dosa-dosaku. Maka, ampunilah semua dosa-dosaku. Sesungguhnya, tidak ada yang boleh mengampuni segala dosa melainkan Engkau. Tunjukilah aku akhlak yang paling terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkannya melainkan hanya Engkau. Jauhkanlah dariku akhlak yang buruk. Kerana sesungguhnya tidak ada yang sanggup menjauhkannya melainkan hanya Engkau. Aku patuhi segala perintahMu, dan aku tolong agama-Mu. Segala kebaikan berada di tangan-Mu. Sedangkan kejahatan tidak datang daripada-Mu. Aku berpegang teguh denganMu dan kepada-Mu. Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi. Kumohon ampun dariMu dan aku bertaubat kepada-Mu. (Riwayat Muslim)

Salah satu bacaan yang masyhur, juga diriwayat oleh Imam Muslim, ialah doa yang berbunyi:

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan segala kebesaran, segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, Maha Suci Allah, baik waktu pagi dan petang”

Selain daripada itu, terdapat banyak riwayat yang lain berkenaan صيغة  (rupa bacaan) yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW dalam bacaan doa iftitah yang boleh didapati dalam kitab-kitab Ulama’ muktabar.

Dalil-dalil dan Hukum

Beberapa riwayat sahih yang dinyatakan terdahulu telah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW sering membaca doa istiftah ketika memulakan solat. Hadith-hadith ini menunjukkan bahawa doa ini adalah amalan konsisten Rasulullah SAW dan menjadi sunnah muakkadah yang dianjurkan untuk diamalkan dalam setiap solat.

Imam an-Nawawi menyatakan dalam al-Majmu‘: “Doa istiftah adalah sunat dan digalakkan menurut jumhur ulama’, dan tidak membacanya tidak membatalkan solat.”

Manakala Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Zad al-Ma‘ad menyebut: “Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa istiftah. Ia adalah permulaan kepada pertemuan antara hamba dan Rabbnya…”

Kelebihan Membaca Doa Istiftah

a) Membuka Pintu Keikhlasan. Doa istiftah adalah ikrar seorang hamba untuk kembali kepada keadaan fitrah yang suci daripada dosa. Ia menjadi mukadimah kepada keikhlasan dalam mempersembahkan ibadah kepada Allah SWT.

b) Pembersihan Dosa. Permintaan pembersihan dosa dengan “air, salji dan embun sejuk” membawa simbolik kesucian yang sempurna, menandakan kesungguhan untuk menyucikan jiwa. Ini bertepatan dengan tuntutan taubat dan istighfar yang dianjurkan secara berterusan dalam syariat Islam.

c) Meningkatkan Khusyuk dalam Solat. Dengan menghayati maksud doa istiftah, hati akan lebih tenang dan hadir ketika membaca Surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci serta zikir-zikir seterusnya sepanjang solat. Keadaan hati yang bersih dan rendah diri menjadikan solat lebih bermakna dan membekas.

Kesan Doa Istiftah dalam Kehidupan Seharian

a) Membentuk Peribadi yang Sentiasa Memohon Keampunan. Ia melatih seorang Muslim untuk menginsafi kesilapan dan sentiasa memohon keampunan Allah, bukan sahaja dalam solat, tetapi juga dalam kehidupan harian. Prinsip ini selari dengan tuntutan al-Quran:

(وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ)

Maksudnya, “Mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah al-Baqarah: 199)

Begitu juga firmannya:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِين))

Maksudnya, “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri”. (Surah al-Baqarah: 222)
Para Ulama’ telah menjelaskan bahawa ibadat solat itu sendiri dijanjikan keampunan bagi dosa-dosa kecil yang dilakukan. Manakala dosa-dosa besar, ia akan diampunkan dengan taubat yang menepati syarat-syaratnya. Memohon doa dengan khusyu’ serentak memahami lafaz doa istiftah ini menuntut seseorang menginsafi diri dari dosa-dosanya. Ia bertepatan dengan makna taubat.

b) Menjadikan Solat sebagai Benteng Dosa. Solat yang dimulakan dengan permohonan penyucian akan mendorong seseorang menjadikan solat sebagai penghalang kepada maksiat, sebagaimana firman Allah:

(إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ)

Maksudnya, “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar”. (Surah al-‘Ankabut :45)

c) Mewujudkan Kesedaran Diri (Self-Awareness). Amalan ini memupuk sifat muhasabah diri, menjadikan seseorang lebih bertanggungjawab dalam tindakan dan hubungan sosial, serta menjadikan setiap detik kehidupan sebagai ruang untuk memperbaiki diri.

Imam al-Ghazali RA dalam Ihya’ Ulum al-Din menyebut:

“Barangsiapa menganggap remeh mukadimah ibadah, maka hilanglah nilai ibadah itu sendiri. Doa istiftah adalah penyucian niat sebelum menghadap Tuhan.”

 Faedah Ikrar dan Aku Janji di Tempat Kerja: Satu Analogi

Dalam konteks kehidupan moden, ikrar dan aku janji di tempat kerja sudah menjadi budaya yang diamalkan. Bahkan ada sesetengah pihak yang mewajibkan. Ia berperanan sebagai satu bentuk komitmen moral dan professional yang sama fungsinya seperti doa istiftah dalam solat  iaitu untuk menyatakan kesungguhan, niat suci dan tekad untuk melaksanakan tugas dengan jujur, amanah dan penuh integriti.

Implikasinya:

               •             Meningkatkan integriti dan disiplin kerja.

               •             Memupuk kesedaran tanggungjawab kepada organisasi dan masyarakat.

               •             Mewujudkan budaya kerja yang berlandaskan nilai rohani dan etika Islam.

Sebagaimana doa istiftah menyucikan niat dalam solat, ikrar kerja pula menyucikan niat dalam urusan dunia, sekali gus menjadikan pekerjaan sebagai satu bentuk ibadah yang diredai Allah.

Penutup

Doa istiftah bukan sekadar lafaz sunat pembuka solat, tetapi ia merupakan refleksi kepada penghayatan ruh ibadah. Ia membentuk jiwa yang bersih, hati yang tunduk dan hidup yang tertumpu kepada mencari redha Allah. Sebagaimana solat membuka jalan ke syurga, doa istiftah membuka pintu hati untuk kembali kepada Allah dengan jiwa yang tenang. Ia juga manjadi benteng dan usaha pencegahan awal daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan solat.

Seseorang yang melakukan salah laku dan pecah amanah di tempat kerja, padahal dia telah melafazkan ikrar dan aku janji setiap hari sebelum melaksanakan tugas, wajar dikutuk keras kerana menyanggahi dan mengkhianati apa yang diikrarkannya sendiri.

Semoga kita terus istiqamah menghayatinya dalam solat dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian, serta memperluas kefahaman itu kepada amalan profesional dan tanggungjawab sosial harian.

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top