15 PUJIAN ALLAH SWT KEPADA RASULULLAH ﷺ  DALAM KITAB-NYA YANG MULIA (BHGN 1)

Allah SWT telah memuliakan kekasihnya Nabi Muhammad ﷺ di dalam al-Quran dengan menyebutkan pelbagai pujian terhadap baginda ﷺ. Banyaknya pujian ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan baginda ﷺ di sisi Allah SWT berbanding makhluk yang lain. Dalam perkongsian kali ini, kami datangkan 15 pujian Allah SWT kepada kekasihnya, Nabi Muhammad ﷺ sebagai hidangan kepada para pembaca. Pujian ini tidak terhad kepada bilangan ini sahaja, bahkan hakikatnya lebih daripada itu dan insya-Allah akan dikongsikan lagi kepada para pembaca pada masa akan datang. Semoga Allah taala memberikan hidayah dan taufiq kepada kita untuk menghayatinya.

1. Semulia-mulia manusia dan paling prihatin terhadap umatnya.

Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah ayat 128, ﴿ لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ ﴾  yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri”.

Ayat ini mengkhabarkan kepada orang-orang yang beriman, atau kepada bangsa Arab, malah kepada seluruh umat manusia bahawa Rasul yang diutuskan kepada mereka adalah daripada kalangan mereka sendiri. Mereka mengenali kedudukan dan kejujurannya, maka mereka tidak menuduhnya dengan perkara-perkara yang batil. Sebahagian Qurra’ (perawi al-Quran) membacanya dengan bacaan “anfasikum” dengan fathah pada huruf fa’, yang membawa maksud “daripada kalangan yang paling mulia di antara kamu”.

Kemudian Allah berfirman melengkapkan ayat tersebut dengan menyatakan sifat baginda seterusnya, ﴿ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ ﴾ yang bermaksud: “Sangat berat terasa olehnya penderitaan kamu”. Maksudnya, kesusahan kamu sangat memberatkan baginda. Segala keburukan dan penderitaan yang menimpa umatnya, amat berat dan menyedihkan hati baginda. Allah SWT kemudian menyifatkan baginda dengan kelembutan dan kasih sayang  ( بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ) yang bermaksud (sangat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman).

2. Menjadikan ketaatan kepada Nabi Muhammad ﷺ sebagai ketaatan kepada Allah SWT.

 Allah SWT berfirman, ( مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ ٱللَّهَ ) yang bermaksud: “Sesiapa yang mentaati Rasul, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah” (Surah An-Nisa’: 80). Maksudnya jelas, bahawa sesiapa yang mentaati Nabi ﷺ, itu adalah hakikat taat kepada Allah SWT.

3. Rahmat bagi seluruh alam semesta.

Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107,  ( وَمَا أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ ) yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad ﷺ) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”. Maksudnya, baginda adalah rahmat bagi orang mukmin melalui hidayah dan petunjuk. Rahmat bagi orang munafiq melalui keamanan daripada hukuman bunuh, dan rahmat bagi orang kafir melalui penangguhan azab yang sepatutnya menimpa mereka. Kehidupan Rasulullah ﷺ adalah rahmat, dan wafat baginda juga adalah rahmat.

Dalam sebuah hadith, Nabi ﷺ bersabda:

“إِذَا أَرَادَ اللهُ رَحْمَةً بِأُمَةٍ قَبَضَ نَبِيَّهَا، فَجَعَلَهُ لَهَا فَرَطًا وَسَلَفًا”

“Apabila Allah menghendaki rahmat kepada sesuatu umat, Dia mewafatkan Nabi mereka terlebih dahulu, lalu menjadikan baginda sebagai pendahulu dan pemberi syafaat kepada mereka.” (Hadith Riwayat Muslim)

Nabi ﷺ pernah bertanya kepada Malaikat Jibril AS: “هَلْ أَصَابَكَ مِنْ هَذِهِ الرَّحْمَةِ شَيْءٌ؟” (adakah engkau (wahai Jibril) turut mendapat bahagian daripada rahmat ini?). Jibril AS menjawab:

“نَعَمْ، كُنْتُ أَخْشَىٰ العَاقِبَةَ فَأَمِنْتُ لِثَنَاءِ اللهِ عَلَيَّ بِقَوْلِهِ: (ذِى قُوَّةٍ عِندَ ذِي ٱلْعَرْشِ مَكِينٍ مُطَاعٍ ثَمَّ أَمِينٍ)”

(Ya, aku dahulu takutkan kesudahan (azab), tetapi aku berasa aman dengan pujian Allah kepadaku melalui firman-Nya: ‘Yang mempunyai kekuatan, di sisi Allah yang mempunyai ‘Arasy yang kukuh; yang ditaati di sana (di langit), lagi dipercayai). (Surah At-Takwir: 20–21)

4. Cahaya yang menerangi

Baginda Nabi ﷺ adalah cahaya Allah SWT yang menerangi alam ini. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur ayat 35:

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “ Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Saidina  Sahl bin ‘Abdullah al-Tustari RA berkata bahawa cahaya yang kedua adalah perumpamaan bagi Nabi Muhammad ﷺ.  Lafaz  مِشْكَاةٍ (lubang di dinding sebagai tempat meletak pelita)  itu merujuk kepada sulbi (keturunan) yang suci,  الْمِصْبَاحُ (pelita) ialah hati baginda dan الزُّجَاجَةُ (gelas) ialah dadanya  yang bercahaya seperti bintang bercahaya, kerana dipenuhi iman dan hikmah. Manakala lafaz  شَجَرَةٍ (pokok) yang diberkati ialah Nabi Ibrahim AS. Frasa ‘minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi’ menunjukkan bahawa kenabian Nabi Muhammad ﷺ tampak jelas walaupun sebelum baginda berkata-kata.

Bagi menggambarkan hal ini saidina Abdullah bin Rawahah RA telah menguntaikan bait-bait syair yang indah:

كَانَتْ بَدَاهَتُهُ تُنَبِّيكَ بِالْخَبَرِ        لَوْ لَمْ تَكُنْ فِيهِ آيَاتٌ مُبَيَّنَةٌ

“Jika tiada pun padanya tanda-tanda yang jelas (sebagai bukti kenabian), maka keperibadiannya sendiri sudah cukup mengkhabarkan akan kebenaran itu.”

5. Sebutan nama Nabi ﷺ adalah yang tertinggi.

Seterusnya Allah SWT berfirman dalam Surah al-Insyirah bermula ayat 1: ( أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ ) yang bermaksud: “Bukankah Kami telah melapangkan dadamu”. Maksudnya, Allah melapangkan hati baginda dengan Islam, kenabian dan hikmah. Firman-Nya lagi: (وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ) yang bermaksud: “dan Kami telah meringankan daripadamu  bebanmu (tugas menyiarkan Islam). Pandangan yang lain mengatakan, Allah SWT telah menjamin keampunan dosa buat Nabi pada masa lalu dan akan datang. Seterusnya Allah SWT berfirman: (ٱلَّذِى أَنقَضَ ظَهْرَكَ) yang bermaksud: “yang memberatkan belakangmu”.

Terdapat pandangan Ulama’ yang menafsirkan beban itu sebagai beratnya tugas penyampaian risalah yang dipikul baginda hingga selesai disampaikan. Ada juga yang menafsirkannya sebagai beban tanggungjawab menjaga diri (‘ismah), dan ada yang mengatakan ia merujuk kepada kesulitan zaman jahiliah yang berat ditanggung oleh baginda.

Manakala maksud “mengangkat sebutanmu” dalam firman-Nya, ( وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ ) yang bermaksud: “dan Kami tinggikan sebutan (nama) mu”, adalah bahawa setiap kali nama Allah SWT disebut, nama baginda turut disebut bersama-Nya “Laa ilaaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah.” Nama baginda disebutkan dan diletakkan berdamping dengan nama Allah SWT.

Kandungan makna ini diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri RA seperti diriwayatkan oleh Imam Ibnu Hibban RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

أَتَانِي جِبْرِيلُ, فَقَالَ: إِنَّ رِبِّي ورَبَّكَ يَقُولُ لَكَ: كَيْفَ رَفَعْتُ ذِكْرَكَ؟ قَالَ: اللَّهُ أَعْلَمُ, قَالَ: إِذَا ذُكِرتُ ذُكِرتَ مَعِي

Yang bermaksud, “Jibril AS telah datang kepadaku, maka dia berkata: “sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu berfirman kepadamu: “bagaimanakah cara aku mengangkat sebutanmu?”. Kata (Nabi ﷺ): “Allah taala lebih mengetahui”. Dia berfirman: “apabila disebutkan nama-Ku, pasti disebut namamu”.

6. Taat dan beriman kepada Rasulullah ﷺ adalah hakikat taat dan iman kepada Allah ﷻ.

 Allah ﷻ telah berfirman dalam Surah at-Taghabun ayat 12: ( وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ ) yang bermaksud: “dan taatlah kalian kepada Allah dan taatlah kepada Rasul”. Begitu juga dalam firmannya menerusi Surah al-Hadid ayat 7 iaitu: ( آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ) yang bermaksud: “berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Dalam kedua-dua ayat ini, penggunaan huruf  “و ” (dan) pada frasa “Allah dan rasul-Nya” menunjukkan keagungan hubungan antara ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada Rasulullah ﷺ. Penegasan dengan  واو العطف (huruf penghubung) dalam konteks ini tidak berlaku bagi ketaatan kepada selain Rasulullah ﷺ  , menunjukkan keistimewaan baginda di sisi Allah.

7. Allah ﷻ dan para Malaikat-Nya sentiasa berselawat kepada Nabi ﷺ.

Firman Allah ﷻ dalam Surah al-Ahzab ayat 56 menyebutkan kemuliaan Rasul-Nya yang sangat Istimewa iaitu, Allah ﷻ sendiri memulakan selawat keatas baginda Nabi ﷺ dan diikuti oleh para malaikat-Nya. Firman-Nya, ( إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ) yang bermaksud: “sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi”. Sebahagian ulama mengatakan bahawa dhamir jama’ ghaib pada lafaz يُصَلُّونَ  kembali kepada Allah dan para malaikat, manakala yang lain mengatakan ia hanya merujuk kepada para malaikat kerana faktor penggunaan lafaz jamak (musyarakah) yang lebih umum. Namun tetap, makna yang terkandung di dalamnya menunjukkan kemuliaan luar biasa yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad ﷺ.

8. Jalan orang-orang yang dikurniakan nikmat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Fatihah ayat 7, ( صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ ) yang bermaksud: “jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka”. Ia adalah jalan keselamatan yang diperintahkan umat Islam istiqamah di atasnya. Ia jalan para Anbiya’, para Siddiqin, para Syuhada’ dan orang-orang soleh.

Menurut Imam al-Hasan al-Basri, mereka yang dimaksudkan di sini ialah Rasulullah ﷺ sendiri, ahli keluarganya yang terpilih, dan para sahabat baginda yang mulia.

9. Tali ikatan yang teguh.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 256, ( فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ ) yang bermaksud: “(oleh kerana itu,) sesiapa yang tidak percaya kepada taghut, dan ia pula beriman kepada Allah SWT, maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh kepada  ikatan yang utuh (agama).

Menurut Imam ‘Abdullah bin Ḥabib bin Rabi‘ah al-Sulami RA (w73h), maksud al-‘urwah al-wuthqa (tali yang kukuh) adalah Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

10. Baginda Nabi ﷺ adalah kebenaran yang dibenarkan.

 Firman Allah ﷻ dalam Surah Az-Zumar ayat 33, ( وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ وَصَدَّقَ بِهِ ) yang bermaksud: “Dan orang yang membawa kebenaran serta membenarkannya). Menurut satu tafsiran, yang membawa kebenaran itu ialah Rasulullah ﷺ, manakala yang membenarkannya ialah Abu Bakar As-Siddiq RA, atau Ali bin Abi Talib RA, atau semua orang beriman. Dalam riwayat qiraat yang lain, ayat itu dibaca, ( وَصَدَقَ بِهِ ) tanpa sabdu pada huruf “dal”  yang bermaksud, Nabi Muhammad ﷺ sendiri membenarkan wahyu yang diterimanya dengan kejujuran dan keteguhan hati.

11. Saksi kepada seluruh umat.

Allah ﷻ berfirman, ( يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا وَدَاعِيًا إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُّنِيرًا ) [Surah Al-Ahzab: 45–46]. Maksudnya: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi, pembawa berita gembira, pemberi peringatan, penyeru kepada Allah dengan izin-Nya dan sebagai pelita yang menerangi”.

Ayat ini menunjukkan bahawa baginda ﷺ diutus sebagai saksi terhadap umatnya dengan menyampaikan risalah, sebagai pemberi khabar gembira kepada mereka yang taat, sebagai pemberi peringatan kepada yang ingkar, serta sebagai penyeru kepada ibadah dan tauhid. Baginda juga menjadi cahaya yang menerangi hati-hati umatnya.

Dalam Sahih al-Bukhari, diriwayatkan bahawa ‘Ata’ bin Yasar RA berkata: Aku bertanya kepada ‘Amr bin al-‘As RA, “Beritahulah aku tentang sifat Rasulullah ﷺ.” Maka beliau menjawab: “Ya, demi Allah! Sesungguhnya baginda telah disebutkan di dalam Taurat dengan beberapa sifat yang juga disebut dalam al-Qur’an, iaitu firman Allah ﷻ,

( يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا ) yang ertinya; (Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi, pemberi berita gembira dan pemberi amaran) dan juga pelindung bagi golongan ummi (yang tidak tahu membaca). Engkau adalah hamba-ku dan Rasul-Ku, Aku namakan dikau sebagai al-Mutawakkil (yang berserah diri kepada Allah), bukan seorang yang bengis, bukan seorang yang kasar. Engkau juga tidak suka menjerit di pasar, tidak membalas keburukan dengan keburukan, sebaliknya memaafkan dan mengampuni. Allah tidak akan mewafatkannya sehingga Dia menegakkan agama yang bengkok itu melalui baginda, iaitu dengan manusia mengucapkan: La ilaha illallah. Melaluinya Allah akan membuka mata yang buta, telinga yang tuli, dan hati yang tertutup”. Terdapat satu riwayat disebutkan dengan lebih panjang.

12. Hadiah Istimewa yang menanti orang beriman di akhirat.

Allah SWT berfirman dalam Surah Yunus ayat 2, ( وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ آمَنُوا أَنَّ لَهُمْ قَدَمَ صِدْقٍ عِندَ رَبِّهِمْ ) yang bermaksud: “dan berilah khabar yang menggembirakan orang-orang yang beriman bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan)”.

Saidina Abu Sa‘id al-Khudri RA menafsirkan bahawa maksud “qadam sidq” ialah syafaat Nabi mereka di akhirat kelak.

13. Allah SWT bersumpah dengan umur Nabi ﷺ.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hijr  ayat 72, ( لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ ) yang bermaksud, (Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka itu benar-benar dalam keadaan lalai dan mabuk (terhadap dosa mereka)).

Menurut Saidina Ibn ‘Abbas RA, tidak pernah Allah SWT bersumpah dengan kehidupan sesiapa pun selain dengan kehidupan Nabi Muhammad ﷺ. Ini menunjukkan bahawa tidak ada satu pun makhluk yang lebih mulia di sisi Allah daripada baginda, hingga Allah ﷻ bersumpah dengan hayat baginda ﷺ.

14. Allah SWT bersumpah dengan Nama Nabi ﷺ .

Allah berfirman, ( يس وَٱلْقُرْآنِ ٱلْحَكِيمِ ) (Surah Ya Sin: 1–2) yang bermaksud, (Ya Sin. Demi al-Quran yang penuh hikmah).

Menurut Imam Abu Talib al-Makkī (w386) RA, huruf-huruf “Yā Sīn” dan “Ṭā Hā” merupakan antara nama-nama khas bagi Nabi Muhammad ﷺ. Allah bersumpah dengan nama Nabi-Nya dan dengan kemuliaan al-Quran, bahawa baginda benar-benar tergolong dalam kalangan para rasul. Baginda berada di atas jalan yang lurus dari sisi keimanan dan petunjuk.

15. Allah SWT bersumpah dengan tempat keberadaan Nabi ﷺ.

Firman Allah dalam Surah Al-Balad, ayat 1, ( لَا أُقْسِمُ بِهَٰذَا الْبَلَدِ ) yang bermaksud, (Aku benar-benar bersumpah dengan negeri ini).

Ada ulama yang menafsirkan bahawa maksudnya: “Aku tidak bersumpah dengannya (negeri Mekah) ketika engkau (wahai Muhammad) tidak berada di dalamnya.” Atau boleh juga dii’tibar  لأ itu sebagai  صلة (penghubung), maka maksudnya ialah: “Aku bersumpah dengan negeri ini,” iaitu Makkah, sedangkan engkau berada padanya. Halal bagimu apa sahaja yang engkau kerjalan padanya.” Firman Allah SWT  ( وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ ) sebagai sambungannya yang bermaksud: (Dan demi bapa serta anak yang dilahirkan), ada yang mengatakan “al-walid” ialah Nabi Adam AS atau Nabi Ibrahim AS, manakala “ma walad” ialah Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda lahir dari keturunan mereka. Maka Allah telah bersumpah dengan baginda dalam bentuk jelas dan tersirat dalam ayat ini, menambah lagi bukti keagungan Rasulullah ﷺ di sisi Allah SWT.

Ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat yang menyatakan kemuliaan Nabi Muhammad ﷺ dan akan didatangkan ayat-ayat berikutnya dalam artikel yang akan datang. Semoga ianya bermanfaat dan nantikan sambungannya.


Sumber rujukan : Kitab حُسْنُ الْوَفَا yang merupakan ringkasan kitab الشِّفَا بِتَعرِيف حُقُوثِ المُصطَفى ﷺ

Susunan dan terjemahan oleh: Ustaz Megat Mohd Zaid bin Megat Azmuddin, Panel Syariah Agami Group Sdn Bhd

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top