
Mukadimah
Majlis Maulidurrasul ﷺ merupakan salah satu manifestasi cinta umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, sebagai tanda syukur atas kelahiran baginda yang membawa risalah rahmatan lil-‘ālamīn. Para ulama muktabar menegaskan bahawa majlis maulid, jika diisi dengan kebaikan, termasuk dalam bid‘ah ḥasanah yang digalakkan. Oleh itu, amat penting difahami rukun-rukun asas dalam majlis ini agar ia benar-benar menjadi ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, ingin dijelaskan bahawa rukun yang dimaksudkan dalam tajuk artikel kali ini bukanlah seperti rukun ibadat yang bersifat wajib seperti rukun solat, wudhuk dan lain-lain. Akan tetapi ia bermaksud suatu perkara yang lazim dilaksanakan agar majlis maulid itu memberi manfaat yang semaksimanya.
Berikut adalah rukun atau elemen yang sepatutnya ada dalam setiap majlis maulid menurut apa yang dinyatakan oleh para Ulama’.
Rukun Pertama: Membaca Sirah Nabi ﷺ
Asas utama majlis maulid ialah mengingati dan membaca kisah kelahiran serta perjuangan Nabi ﷺ. Ia bertujuan memasakkan keyakinan bahawa baginda ﷺ adalah anugerah teristimewa yang Allah SWT kurniakan buat alam ini. Dengannya juga, meyakinkan kita bahawa tiada sebab untuk tidak mencintai baginda ﷺ lantaran kasih sayang dan pengorbanan yang telah baginda ﷺ tunjukan demi umatnya.
Dalilnya firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik…” (al-Aḥzāb: 21).
Imām al-Suyūṭī di dalam kitabnya Ḥusn al-Maqṣid fī ‘Amal al-Mawlid, menegaskan:
“Asal majlis maulid ialah perhimpunan manusia, bacaan al-Qur’an, riwayat tentang permulaan kisah Nabi ﷺ serta ayat-ayat yang berlaku ketika baginda dilahirkan.”
Rukun Kedua: Berselawat ke atas Nabi ﷺ
Selawat adalah rukun yang paling utama dalam majlis maulid. Bahkan ia rukun dalam setiap majlis. Setiap majlis yang tidak terdapat padanya selawat atas baginda ﷺ, akan dibangkitkan di akhirat nanti dalam keadaan penuh penyesalan. Baginda ﷺ bersabda:
مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا اللَّهَ فِيهِ وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِمْ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةً فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ
Maksudnya: “Tidaklah satu-satu kaum yang berada di dalam sesebuah majlis yang mana mereka tidak menyebut nama Allah padanya dan tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka, melainkan majlis tersebut merupakan kesedihan, dukacita, dan penyesalan. Sekiranya Dia menghendaki, mereka akan diazab, dan sekiranya Dia mahu, mereka akan diampuni. (HR at-Tirmidzi)
Dalil perintah berselawat kepada Baginda ﷺ adalah firman Allah SWT dalam surah al-Aḥzāb, ayat 56:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا
Bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Imām Ibn Kathīr menjelaskan bahawa ayat ini menunjukkan kewajipan selawat, manakala para ulama menyatakan majlis maulid adalah kesempatan terbaik memperbanyakkan selawat.
Rukun Ketiga: Menzahirkan Syukur kepada Allah SWT
Majlis maulid hakikatnya ialah majlis kesyukuran. Kesyukuran atas nikmat terbesar kurniaan Allah SWT. Dalam sebuah hadith, dinyatakan bahawa para sahabat pernah duduk dalam majlis zikir dan menzahirkan kesyukuran atas nikmat hidayah Islam dan juga nikmat dikurniakan Nabi yang mulia:
إن رسول الله صلى الله عليه وسلم خرج على حلقة يعني من أصحابه فقال ما أجلسكم قالوا جلسنا ندعو الله ونحمده على ما هدانا لدينه ومنّ علينا بك
قال آلله ما أجلسكم إلا ذلك قالوا آلله ما أجلسنا إلا ذلك قال أما إني لم أستحلفكم تهمة لكم وإنما أتاني جبريل عليه السلام فأخبرني أن الله عز وجل يباهي بكم الملائكة
Maksudnya:
“Sesungguhnya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam pernah keluar menuju suatu halaqah (dari kalangan para sahabat) maka Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bertanya:
“Apa yang menyebabkan kamu semua duduk (berhimpun)?”
Mereka menjawab:
“Kami duduk (bersama-sama) kerana berdoa kepada Allah s.w.t., bersyukur kepadaNya terhadap hidayahNya kepada agamaNya dan mengurniakan engkau (Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam) kepada kami.
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bertanya semula:
“Demi Allah, kamu semua tidak duduk melainkan kerana itu?”
Mereka menjawab:
“Demi Allah, kami tidak duduk (berhimpun) melainkan kerana itu.”
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam kemudian menjawab:
“Sesungguhnya aku tidak meminta kalian bersumpah sebagai tohmah kepada kamu (untuk membebankan kamu). Tetapi, Jibril a.s. telah datang kepadaku lalu memberitahuku bahawasanya Allah s.w.t. bermegah-megahan dengan kamu semua di hadapan para malaikat.”
[Hadith riwayat Imam An-Nasa’ie dan Imam Ahmad]
Rukun Keempat: Mengadakan Jamuan atau Sedekah
Memberi makan adalah sunnah yang amat digemari baginda Nabi ﷺ. Baginda seringkali melakukannya dan menggalakkan umat baginda mengikutinya. Dalilnya sabda Nabi ﷺ yang bermaksud:
“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, hubungkan silaturrahim, solatlah pada waktu malam ketika manusia tidur, nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmidhī).
Imām al-Sakhāwī menyebut:
“Umat Islam sejak dahulu bersedekah pada malam maulid dan mereka mendapat keberkatan yang jelas daripada perbuatan itu.”
Rukun Kelima: Menghidupkan Majlis dengan Zikir, Doa dan Nasihat
Majlis maulid mesti menjadi majlis tazkirah yang menambahkan iman.
Dalilnya hadis sahih Muslim:
“Tidaklah suatu kaum duduk berzikir mengingati Allah, melainkan para malaikat mengelilingi mereka, rahmat meliputi mereka, ketenangan turun ke atas mereka, dan Allah menyebut mereka di sisi-Nya.”
Imām Abū Shāmah menyatakan:
“Antara bid‘ah terbaik ialah apa yang dilakukan pada hari maulid dengan sedekah, berbuat baik, zikir dan kegembiraan.”
Rukun Keenam: Menzahirkan Rasa Cinta dan Kegembiraan Melalui Qasidah dan Pujian
Majlis maulid adalah medan menzahirkan kegembiraan dengan kelahiran Nabi ﷺ. Imām Ibn al-Jawzī menyebut:
“Adalah mustahab menzahirkan kegembiraan pada hari maulid, kerana padanya ada peringatan tentang nikmat Allah dengan kelahiran Nabi.”
Kisah Abu Lahab yang diringankan azabnya setiap Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Nabi ﷺ diriwayatkan oleh al-Bukhārī (secara ta‘liq). Jika seorang kafir mendapat keringanan kerana kegembiraannya, maka seorang Muslim lebih layak mendapat rahmat Allah dengan rasa cinta tersebut.
Qasidah memuji pada Nabi SAW adalah salah satu daripada pernyataan kasihnya seseorang kepada Nabi SAW. Ia mengingatkan kita bagaimana penyair pada zaman Nabi SAW seperti Hasan bin Thabit R.A memuji Baginda SAW dan mempertahankannya dari musuh-musuh Islam dengan kekuatan syairnya.
Diantara qasidah dan syair yang masyhur dalam mensifatkan kemuliaan Nabi saw adalah qasidah burdah yang dikarang oleh Imam al-Bushiri RA. Sebahagian daripada baitnya yang indah,
“Wahai Tuhanku,
Selawat dan salam sudi Engkau limpahkan,
Kepada kekasih-Mu sentiasa selamanya,
Sebaik-baik makhluk yang Engkau ciptakan,
Muhammad itu adalah penghulu dari dua dunia dan dua kelompok (manusia dan jin),
Dan ikutan bagi orang Arab dan bukan Arab,
Dialah kekasih Allah diharapkan kesyafaatan,
Pada setiap hal dari hal kebaikan yang dilakukan,
Kemudian reda daripada Abu Bakar dan Umar juga Ali dan Uthman yang dimuliakan,
Wahai Tuhan!
Perkenankan hajat kami dengan berkat Nabi pilihan dan ampunilah dosa kami yang lalu,
Wahai Tuhan yang punya kemuliaan.”
Kesimpulan
Demikianlah sebahagian daripada elemen yang perlu ada bagi setiap majlis maulid. Jika ada penambahan daripada hal-hal yang dianjurkan syarak, makaianya sangat baik dan bakal menambahkan lagi pahala buat yang melaksanakannya.
Apabila rukun-rukun ini dipelihara, majlis maulid bukan sekadar tradisi, tetapi menjadi ibadah yang menambahkan iman, memperkukuh kasih kepada Rasulullah ﷺ, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.