Ada satu pengalaman daripada sebuah majlis ilmu yang saya rasakan tidak akan mudah saya lupakan.
Sejak awal program, para hadirin terpaku mendengar huraian Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi. Kefasihan beliau menghuraikan ibarat-ibarat para ulama, keluasan ilmu dan kekuatan ingatannya benar-benar mengagumkan. Setiap kalimah yang keluar seolah-olah membawa kita menyelami lautan ilmu yang luas.
Lebih mengagumkan, setiap huraian itu diterjemahkan dengan begitu lancar oleh Maulana Abdullah Amir.
Namun, di tengah-tengah majlis yang begitu hidup dengan ilmu, tiba-tiba suasana berubah.
Hening.
Prof. Sayyid Idris kelihatan sebak ketika menghuraikan kalam Imam Ibn ‘Aṭā’illah al-Sakandari رحمه الله.
Kemudian beliau menceritakan sebuah kisah.
Kisah yang pada akhirnya bukan sekadar membuatkan kami memahami sebuah hikmah, tetapi membuatkan kami bertanya kepada diri sendiri:
Kepada siapakah sebenarnya hati kita bergantung ketika kita mempunyai hajat?
Diceritakan bahawa pada suatu ketika terdapat seorang imam di al-Qarawiyyin. Beliau merupakan Syaikh al-Qurra’ pada zamannya, seorang alim yang sangat dihormati dan disegani. Nasihatnya didengar oleh masyarakat, bahkan mempunyai kedudukan yang dihormati di sisi Sultan.
Pada suatu malam, datang seorang lelaki menemuinya.
Lelaki itu sedang berhadapan dengan suatu masalah yang melibatkan hak orang lain. Hajatnya besar dan dia benar-benar memerlukan pertolongan.
Mungkin kerana melihat kedudukan dan pengaruh sang Syeikh, lelaki itu merasakan tidak ada sesiapa lagi yang mampu membantunya selain beliau.
Setelah mendengar luahannya, sang Syeikh berkata:
“Baiklah. Insya-Allah, esok aku akan menghadap Sultan dan menyampaikan hajatmu. Mudah-mudahan ada jalan penyelesaiannya.”
Lelaki itu pun beredar.
Sang Syeikh masuk ke rumahnya untuk berehat.
Malam semakin larut.
Dan ketika beliau sedang tidur, beliau didatangi oleh Rasulullah ﷺ dalam mimpinya.
Baginda ﷺ memintanya membaca Surah al-Fatihah.
Sang Syeikh berasa sangat gembira.
Bayangkan seorang yang telah menghabiskan usianya mempelajari al-Quran, kini berkesempatan membaca al-Fatihah di hadapan Rasulullah ﷺ sendiri.
Lalu beliau pun mula membaca.
Namun, belum sempat selesai bacaannya, Rasulullah ﷺ menegurnya dengan nada yang tegas:
“Bagaimana kamu boleh salah membaca al-Fatihah?”
Sang Syeikh memohon ampun dan meminta izin untuk mengulangi bacaannya.
Mungkin pada fikirannya, barangkali itulah peluang untuk memperbetulkan kesalahan tersebut.
Beliau mengulanginya.
Tetapi sekali lagi, Baginda ﷺ menegurnya:
“Bagaimana kamu boleh tersalah membaca al-Fatihah?”
Sang Syeikh tergamam.
Lalu beliau tersedar daripada tidurnya.
Dia duduk termenung.
Apakah kesalahan yang telah dilakukannya?
Bagaimana mungkin dia melakukan kesalahan dalam membaca al-Fatihah sedangkan sepanjang hidupnya dia telah menghabiskan usia mendalami ilmu al-Quran?
Dan mengapa Baginda ﷺ menegurnya sedemikian rupa?
Dia cuba mengingati semula ayat yang dibacanya.
Satu persatu.
Sehingga akhirnya pandangannya berhenti pada firman Allah SWT:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
“Engkaulah sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”
Ketika itu, dia tersedar.
Bukan lidahnya yang sedang dipersoalkan.
Tetapi hatinya.
Bukankah baru sahaja sebelum tidur dia berkata kepada seorang manusia:
“Aku akan menghadap Sultan untuk menyelesaikan hajatmu.”
Sedangkan setiap hari dia membaca:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.
“Engkaulah sahaja yang kami sembah.”
“Dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”
Seolah-olah teguran itu sedang mengetuk pintu hatinya:
Bagaimana engkau boleh berharap kepada selain Allah, sedangkan setiap hari engkau mengaku bahawa hanya kepada Allah engkau meminta pertolongan?
Ketika kesedaran itu hadir, sang Syeikh menangis. Dia bangun. Berwuduk.
Kemudian menunaikan solat.
Setelah itu, dia mengangkat tangan dalam munajat kepada Allah SWT:
“Ya Allah, sesungguhnya seorang daripada sekalian hamba-Mu telah datang menemuiku dan meminta pertolongan daripadaku untuk menyelesaikan hajatnya.
Maka aku memohon kepada-Mu, kerana Engkaulah Yang Maha Kaya. Tiada siapa yang mampu menunaikan hajatnya melainkan Engkau.
Ya Allah, Engkaulah yang mempunyai segala urusan.”
Dia menyerahkan hajat lelaki itu kepada Allah.
Bukan kepada dirinya.
Bukan kepada Sultan.
Tetapi kepada Sang Pemilik segala kerajaan.
Setelah selesai berdoa, sang Syeikh kembali untuk berehat.
Namun belum sempat dia berbaring, tiba-tiba terdengar ketukan di pintu rumahnya.
Tuk. Tuk. Tuk.
Di tengah malam.
Sang Syeikh bangun lalu membuka pintu.
Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati lelaki yang datang memohon pertolongannya tadi berdiri di hadapan pintu.
Lelaki itu berkata:
“Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Urusanku yang aku minta pertolongan daripadamu tadi telah pun selesai.”
Kemudian lelaki itu bertanya:
“Aku ingin tahu, bagaimana kamu dapat masuk menghadap Sultan pada waktu sebegini, sedangkan sekarang masih tengah malam?”
Sang Syeikh tidak menjawab dengan segera. Air matanya mengalir.
Lalu beliau berkata:
“Aku telah memohon kepada Sang Sultan yang tidak mempunyai pengawal.
Aku telah masuk menghadap Sang Sultan yang tidak ada antara aku dengan-Nya sebarang hijab.
Aku telah menghadap al-Malik, al-‘Allam (Sang Raja Yang Maha Mengetahui) yang dalam genggaman-Nya kunci segala yang berada di langit dan bumi.”
Ketika itu, sang Syeikh terus memuji Allah SWT.
Bukan kerana dia berjaya mendapatkan pertolongan Sultan. Tetapi kerana Allah telah mengajarnya sesuatu yang jauh lebih besar:
Hajat manusia tidak pernah berada di tangan manusia. Segala-galanya di tangan Allah swt.
Suasana dalam majlis itu menjadi semakin hening.
Prof. Sayyid Idris tidak dapat menahan sebak.
Maulana Abdullah yang menterjemahkan kisah tersebut juga kelihatan tersentuh dan akhirnya, kesan itu sampai kepada seluruh hadirin.
Ramai yang menangis.
Bukan kerana kisah itu luar biasa.
Tetapi kerana kisah itu membuatkan kami melihat kembali diri sendiri.
Berapa kali kita membaca:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
tetapi apabila datang kesusahan, hati kita segera mencari makhluk?
Berapa kali kita mengangkat tangan kepada Allah dalam solat, tetapi setelah selesai solat, kita merasakan seolah-olah penyelesaian itu berada di tangan manusia?
Berapa kali kita berkata bahawa Allah adalah tempat bergantung, tetapi hati kita masih lebih tenang apabila ada manusia yang kita anggap mampu membantu?
Mungkin inilah sebabnya kalam Ibn ‘Aṭā’illah begitu dalam menusuk jiwa.
Beliau berkata:
لَا تَتَعَدَّ نِيَّةُ هِمَّتِكَ إِلَى غَيْرِهِ، فَالْكَرِيمُ لَا تَتَخَطَّاهُ الْآمَالُ
“Janganlah tekad dan tumpuan harapanmu melampaui kepada selain-Nya, kerana harapan tidak sepatutnya melangkaui Tuhan Yang Maha Pemurah.”
Kemudian beliau berkata lagi:
لَا تَرْفَعَنَّ إِلَى غَيْرِهِ حَاجَةً هُوَ مُوْرِدُهَا عَلَيْكَ، فَكَيْفَ يَرْفَعُ غَيْرُهُ مَا كَانَ هُوَ لَهُ وَاضِعًا! مَنْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَرْفَعَ حَاجَةً عَنْ نَفْسِهِ، فَكَيْفَ يَسْتَطِيعُ أَنْ يَكُونَ لَهَا عَنْ غَيْرِهِ رَافِعًا.
“Janganlah engkau mengangkat kepada selain-Nya sesuatu hajat yang Dia sendiri datangkan kepadamu. Bagaimana mungkin selain-Nya mampu mengangkat sesuatu yang Dia sendiri letakkan?
Orang yang tidak mampu menghilangkan sesuatu hajat daripada dirinya sendiri, bagaimana mungkin dia mampu menghilangkan hajat itu daripada orang lain?”
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjernihkan kekeruhan laluan kita menuju Allah swt.
“Janganlah tekad dan tumpuan harapanmu melampaui kepada selain-Nya, kerana harapan tidak sepatutnya melangkaui Tuhan Yang Maha Pemurah.”







