AMALAN TERBAIK DILAKUKAN PADA HARI RAYA

Soalan : Assalamualykum wrb Ustaz. Hari raya adalah hari kemenangan. Bolehkah ustaz terangkan apakah amalan yang terbaik dilakukan pada hari tersebut? Kemudian, bagi wanita yang didatangi haid pula, apakah amalan yang sesuai dilaksanakan? Terima kasih atas perhatian.

Jawapan:
Waalaykumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين, أما بعد
Alhamdulillah Syukur atas limpahan nikmat Allah taala yang mengurniakan nikmat bulan Ramadan kepada kita semua.

Hari Kemenangan
Sebenarnya makna ‘hari kemenangan’ itu hanya dapat dirasai hakikatnya oleh mereka yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain dengan baik disepanjang bulan Ramadan. Ianya dapat difahami daripada sabda Nabi ‎ﷺ yang diriwayatkan oleh saidina Abu Hurairah RA,
للصَّائمِ فرحتانِ : فرحةٌ حينَ يفطرُ ، وفرحةٌ حينَ يَلقى ربَّهُ
Maksudnya, “bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan. (pertama) Kegembiraan ketika dia berbuka dan (kedua) ialah kegembiraan tatkala bertemu Tuhannya (diakhirat). [HR at-Tirmizi]

Imam Nawawi RA menjelaskan dalam kitabnya Syarah Shahih Muslim yang maksudnya, “berkata para Ulama’, adapun kegembiran seorang yang berpuasa ketika bertemu Tuhannya, maka ialah kerana apa yang dilihat daripada ganjarannya dan ingatannya terhadap nikmat Allah SWT keatasnya yang memperkenankannya kearah demikian. Manakala kegembiraan ketika berbuka pula disebabkan telah sempurna ibadahnya dan selamat daripada segala yang merosakkan, serta apa yang diharapkan daripada pahalanya”.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, menjaga kelansungan ibadat di hari raya setelah berakhirnya bulan Ramadan, adalah merupakan salah satu tanda ibadah Ramadan itu dimakbulkan. Tidak ada sambutan kegembiraan yang lebih membahagiakan selain dari melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Amalan terbaik di hari raya
Berkenaan dengan amalan-amalan terbaik di hari raya pula, di sana ada amalan yang sunat dilakukan bagi menghidupkan syiar hari raya. Antaranya ialah;

Pertama : Bertakbir raya menjelang masuknya malam raya iaitu selepas terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib) 1 Syawal sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya Aidilfitiri. Kita digalakkan bertakbir sepanjang malam antara dua waktu ini. Sunat juga bertakbir dengan lafaz yang sama setiap kali selesai menunaikan solat sama ada solat fardhu atau solat sunat. Disunatkan bertakbir dengan suara yang lantang bagi menggambarkan kegembiraan dan menunjukkan syiar islam. Imam al-Khatib al-Syirbini menyebutkan di dalam karyanya:
وَهَذَا كُلُّهُ فِي التَّكْبِيرِ الَّذِي يَرْفَعُ بِهِ صَوْتَهُ وَيَجْعَلُهُ شِعَارَ الْيَوْمِ
Maksudnya: Ini semuanya berkaitan hukum pada takbir yang dilaungkan dengan suara yang lantang dan dijadikannya sebagai syiar pada hari itu (hari raya)

Kedua : Menghidupkan malam raya dengan ibadat. Saidina Abu Umamah Al-Bahili meriwayatkan daripada baginda Nabi ﷺ :
مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ
Maksudnya :” Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (aidiladha dan aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).” [Riwayat Ibnu Majah]
Apa sahaja amalan sunat, digalakkan untuk dilakukan pada malam ini. Ia tergantung kepada kemampuan masing-masing.

Ketiga : Menjaga solat fardhu secara berjemaah. Dalam kesibukan persiapan menyambut hari raya. Janganlah diabaikan amalan paling utama ini. Akan bertambah barakah jika dapat dilaksanakan bersama sanak saudara yang berhimpun.

Keempat : Bersarapan dahulu sebelum menunaikan solat hari raya. Ia bagi membezakan antara hari puasa dan hari raya. Sunat menjamah sedikit juadah ringan bagi meraikan hari yang diperintahkan untuk makan dan minum.

Kelima : Mandi sunat hari raya. Berwangi-wangian , memakai pakaian baru. Hadir awal untuk menunaikan solat hari raya . Melalui jalan yang berbeza sewaktu datang dan pulang.

Keenam : Menunaikan solat Sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah.

Ketujuh : Bersedekah, lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga yang susah. Termasuk dengan menjamu makan.

Kelapan : Bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Kerana ia mengugurkan dosa. Wajib menjaga batasan mahram dalam bersalaman.

Kesembilan
: Mengucapkan tahniah sesama muslim atas kejayaan menjalani ibadat di bulan Ramadan. Seperti ucapan تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنكُم (semoga Allah SWT menerima daripada kalian).

Kesepuluh : Menjauhi segala perbuatan maksiat kerana menjaga kemuliaan hari kebesaran Islam.

Ini sebahagian dianjurkan bagi menghidupkan hari raya. Sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah SWT.

Berhubung dengan amalan yang boleh dilakukan oleh mereka didatangi haid pula, sebenarnya haid bukan halangan untuk beribadah. Tetapi ia adalah ujian yang Allah taala berikan kepada golongan wanita yang boleh menjadikan mereka melakukan ibadah tanpa berbuat apa-apa. Maksudnya ialah, ia seperti juga ibadat puasa yang berpaksi kepada meninggalkan perkara yang membatalkan puasa. Maka sesiapa yang didatangi haid, lalu dia menahan dirinya daripada melakukan ibadah-ibadah yang dituntut melaksanakannya dalam keadaan suci, seperti tidak solat, tidak berpuasa, tidak membaca al-Quran dan menyentuhnya, maka meninggalkan semua itu kerana mentaati Allah taala akan dikira beroleh pahala.

Suka juga dijelaskan bahawa kesemua 10 amalan yang dinyatakan diatas, boleh dilakukan oleh mereka yang didatangi haid kecuali perkara ketiga dan keenam iaitu menunaikan solat fardhu dan solat hari raya. Jadi, ambillah peluang memperbanyakkan hal yang diharuskan dan menggandakannya.

Kesimpulan
Hari raya adalah hari kemenangan. Kemenangan dalam ertikata berjaya melawan hawa nafsu melalui tarbiah Ramadan. Maka bagi sesiapa yang berjaya mengekalkan sifat ini, setiap hari baginya dianggap hari raya. Seperti kata-kata ulama, “hari raya bagi kami ialah setiap hari yang kami tidak melakukan maksiat kepada Allah SWT padanya”.

Salam Aidilfitri buat semua. Taqabbalallahu minkum

Kongsikan acara ini :

Facebook
Telegram
WhatsApp
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top